Inevitable Reproachment of UMNO and PAS(In Bahasa Melayu)

Majoriti umat Islam/Melayu di negara ini sentiasa mendoakan agar UMNO dan PAS akan bersatu dan berpadu demi masa depan umat Melayu dan agama Islam di negara ini. Mereka amat berharap doa mereka suatu hari akan dimakbulkan oleh Allah swt. Beberapa hari lepas, suara-suara dan cadangan-cadangan supaya UMNO dan PAS bersatu dan berpadu kedengaran lagi. Apakah doa mereka akan dimakbulkan oleh Allah swt kali ini?

Sebelum ini, banyak pihak telah mengusahakan ke arah membawa UMNO dan PAS kembali bersatu, sebagaimana kedua-dua parti pernah menjadi pengasas kepada penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1975, setelah kedua-dua parti membentuk Kerajaan Campuran di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri pada tahun 1973, beberapa tahun selepas peristiwa 13 Mei 1969. Namun, beberapa usaha sebelum ini menemui kegagalan kerana terdapat suatu pemikiran di kalangan sebahagian kepimpinan PAS bahawa UMNO memperjuangkan ‘asobiyyah’, sedangkan PAS memperjuangkan ‘Islam’. Bagi mereka, perjuangan ‘asobiyyah’ dan ‘Islam’ tidak boleh bercampur.    

 Walaupun ramai para ulama, cendikiawan dan penyokong UMNO menyedari bahawa pemikiran tersebut di atas adalah jauh menyimpang dari kebenaran, tidak ada sebarang hujjah yang konkrit telah diketengahkan untuk mematikan kenyataan sedemikian. Jika diteliti kenyataan-kenyataan seperti yang biasa dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bahawa ‘UMNO tolak Islam’, beliau sering mengaitkan kenyataan sedemikian dengan kenyataan bahawa UMNO memperjuangkan ‘asobiyyah’  yang difahami oleh beliau sebagai perjuangan ‘bangsa’, ‘kebangsaan’ atau ‘nasionalisma’ yang mengikut beliau adalah bertentangan dengan Islam.

 Tidak dapat dinafikan bahawa sikap ‘asobiyyah’ itu bertentangan dengan Islam. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud: “Tidak ada asobiyyah dalam Islam”, dan “Bukanlah daripada kami orang yang menyeru ke arah asobiyyah”. Namun, apakah hujjah Datuk Nik Aziz untuk menyamakan ‘asobiyyah’ itu dengan ‘perjuangan bangsa’, ‘perjuangan kebangsaan’ atau ‘nasionalisma’?

 Sebagai perbandingan,  wajar kita  meninjau pendapat-pendapat bekas-bekas pemimpin agung PAS sendiri, khususnya Yang Dipertua Ke-2 PAS, Allahyarhan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Yang Dipertua PAS Ke-3, Allahyarham Datuk Mohd. Asri, tentang istilah ‘asobiyyah’, ‘ perjuangan Islam’ dan’perjuangan bangsa’.

Yang Dipertua Ke-2 PAS, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy, merupakan salah seorang pemimpin Melayu yang banyak menulis karya-karya yang hebat berhubung perjuangan bangsa, dan di antara penulisan beliau terunggul ialah ‘Falsafah Perjuangan Melayu’. 

 Di dalam Bab 8 buku tersebut, beliau ada memberikan penjelasan tentang istilah ‘asobiyyah’. Beliau menyebut:  ‘Banyak orang terkeliru dengan perkataan ‘asobiyyah’ yang terdapat dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, “Tidak ada asobiyyah dalam Islam”. Begitu juga dengan sabdanya, “Bukanlah daripada kami orang yang menyeru ke arah asobiyyah”. Mereka memahamkan ‘asobiyyah’ itu dengan ‘kebangsaan’, sebab itu menurut mereka, tiada ada kebangsaan dalam Islam. Jadi, menurut pendapat ini, maka perjuangan ‘kebangsaan Melayu’ kita ada menghadapi dua rintangan, pertama dari momok ‘perkauman’ dan yang kedua ialah dari orang yang keliru dengan pengertian ‘asobiyyah’ ini.’

 Beliau seterusnya menyebut: ‘Sebenarnya kalimah ‘asobiyyah’ ini adalah terambil dari kata ‘taksub’ yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai ‘fanatic’, iaitu perasaan yang membuta tuli dan degil, atau boleh disebut sebagai faham kebangsaan sempit, atau faham berdaerah-daerah sebagaimana yang telah berlaku kepada bangsa Arab di zaman jahiliyyah dahulu……bukan faham kebangsaan yang luas yang berdasarkan kepada tanahair dan kewatanan, sebagaimana telah ditegaskan di dalam Al-Quran: “Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak ialah supaya dapat kamu berkenal-kenalan….”.

 Perjuangan PAS di zaman Yang Dipertuanya yang  Ke-3, Allahyarham Datuk Mohd. Asri, juga berlandaskan Islam dan Kebangsaan Melayu. Di dalam buku ‘Memoir Politik Asri’, Allahyarhan Datuk Mohd Asri  ada menyatakan, ‘ Islam itu tidak boleh diletakkan di atas pokok, digantung di dahan kayu, atau dilekatkan pada dinding. Ia mestilah ada pendukungnya….dan dalam konteks negara kita Malaysia, pendukungnya adalah orang Melayu. Ini bermakna Islam dan orang Melayu tidak dapat dipisahkan. Dari sudut yang sama, Islam akan menjadi kuat, utuh serta terjamin masa depannya di negara ini hanya jika kedudukan dan masa depan orang Melayu itu sendiri terjamin….’

 Persoalannya, apakah telah berlaku perubahan begitu besar kepada DASAR PERJUANGAN PAS sepeninggalan Presiden-Presiden terawal parti itu, Allahyarham Hj Mohd Fuad, Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan Datuk Mohd. Asri. Sedangkan ketiga-tiga mereka secara jelas memperjuangkan ISLAM dan KEBANGSAAN MELAYU, kerana bagi mereka, perjuangan KEBANGSAAN MELAYU adalah sebahagian dari PERJUANGAN ISLAM.

 Sebenarnya Datuk Nik Aziz tidak ada  hujjah yang kuat untuk ‘memfatwakan’ bahawa Perjuangan Kebangsaan itu bertentangan dengan Islam. Apatah lagi jika perjuangan untuk ‘Bangsa Melayu’sepertimana yang diperjuangkan oleh UMNO itu  disertai dengan perjuangan MENEGAK, MEMPERTAHAN dan MENYEBARKAN ISLAM sebagaimana tercatit di dalam Perlembagaan UMNO.

Beberapa salah faham tentang maksud sebenar sesuatu aspek ajaran Islam melambatkan sedikit proses penyatuan semula UMNO-PAS. Namun begitu, apabila KEBENARAN mengatasi KEBATILAN, dua saudara, UMNO dan PAS akan berjalanan seiringan kembali. Itulah hasrat umat Melayu, insyaaAllah.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Tags: , , , , , , , ,

You can comment below, or link to this permanent URL from your own site.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s