Apakah Kita Telah Korbankan KEMELAYUAN Persekutuan Tanah Melayu Kerana Malaysia?

Semalam, tanggal 16 September 2012, adalah Hari Ulangtahun Penubuhan MALAYSIA ke 49. Kepada semua warga Malaysia di seluruh dunia, aku secara tulus ikhlas mengucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA.

Amat bertepatan sekali, aturcara-aturcara berkaitan sambutan HARI MALAYSIA banyak tertumpu kepada Sabah dan Sarawak. HARI MALAYSIA amat besar maknanya kepada seluruh warga Malaysia, terutamanya warga Malaysia di Sabah dan Sarawak, kerana tarikh 16 September 1963  merupakan tarikh rasmi kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari penjajah British, sedangkan tarikh rasmi kemerdekaan bagi negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu ialah 31 Ogos 1957.

Pada pemerhatian kasar aku, warga Malaysia di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, atau Semenanjung Tanah Melayu, lebih memberikan tumpuan kepada sambutan Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun, berbanding dengan sambutan Hari Malaysia pada tanggal 16 September. Aku percaya ini ada kaitannya dengan beberapa faktor sejarah. Umpamanya, umat Melayu telah menubuhkan   UMNO pada tahun 1946 adalah untuk menentang penubuhan Malayan Union, dan setelah British menarik balik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu, perjuangan UMNO dihalakan pula ke arah menuntut kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Kejayaan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, di bawah pemerintahan parti Perikatan yang ditunjangi UMNO, menyatu-padukan masyarakat berbagai kaum dan membawa pembangunan kepada Persekutuan Tanah Melayu telah memberikan inspirasi kepada pihak British untuk menggabungkan empat lagi koloninya di Asia Tenggara, iaitu Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak bersama negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. Antara punca utama ialah untuk mengakhiri tuntutan Filipina ke atas Sabah serta masalah ancaman parti-parti Komunis ke atas Singapura, Sarawak dan Brunei. Brunei membatalkan hasrat untuk bergabung dalam Malaysia, sementara Singapura pula telah dikeluarkan dari Malaysia pada tahun 1965.  Sehingga sekarang, Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian dari Malaysia.

Sehingga sekarang, aku belum mendapat satu jawapan yang memuaskan, apakah keuntungan ketara kepada Persekutuan Tanah Melayu di awal tahun 1960an hasil dari bergabung dengan Sabah dan Sarawak. Sedangkan pada tahun 1960an, kedua-dua Sabah dan Sarawak jauh lebih mundur berbanding negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, dan sudah tentu banyak memerlukan suntikan kewangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memajukan kedua-dua negeri tersebut.  Secara ikhlas, aku berpandangan bahawa, pada era 1960an, penubuhan Malaysia lebih banyak memberikan menafaat kepada Sabah dan Sarawak, berbanding dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang lain.

Namun begitu, sebagai seorang pendukung perjuangan ‘Agenda Melayu Berteraskan Islam’, aku menyokong penuh penubuhan Malaysia, yang telah menggabungkan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. Bagi aku, kedua-dua Sabah dan Sarawak asalnya adalah sebahagian dari wilayah umat melayu/Islam di bawah kedaulatan Kesultanan Melayu Brunei, sebelum diserahkan kepada British berdasarkan perjanjian-perjanjian tertentu, oleh itu amat sesuailah jika kedua-dua wilayah tersebut bergabung dengan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, di Semenanjung Tanah Melayu.

Di dalam kegembiraan dan kebanggaan kita menyambut Hari Malaysia, aku tidak dapat menyembunyikan sedikit kesedihan. Dengan terbentuknya Malaysia, seolah-olah hilanglah nama PERSEKUTUAN TANAH MELAYU dari peta dunia, sedangkan Persekutuan Tanah Melayu merupakan ASAS UTAMA penubuhan Malaysia, iaitu ‘Federation’ 11 buah negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, berbanding dengan hanya 2 buah negeri Sabah dan Sarawak. Walaupun Bahasa Melayu di iktiraf sebagai bahasa resmi di dalam Perlembagaan Malaysia, sekolah-sekolah kita lebih selesa menggunakan istilah Bahasa Malaysia. Nama Semenanjung Tanah Melayu entah kenapa telah ditukar kepada Malaysia Barat, sementara Sabah dan Sarawak pula disebut sebagai Malaysia Timur. Di segi perundangan, Hakim Besar negeri-negeri Tanah Melayu di sebut Hakim Besar Malaya. Malah, nama Keretapi Tanah Melayu telah ditukar kepada KTMB Berhad.

Jangan salahkan aku jika aku menyambut HARI MALAYSIA dengan sedikit ‘mixed-feeling’, samada kita telah mengorbankan aspek-aspek ‘kemelayuan’ yang terdapat di dalam Persekutuan Tanah Melayu, di dalam usaha kita untuk menubuhkan Malaysia. Bagi mempastikan warga Malaysia seperti aku menyambut kehadiran HARI MALAYSIA dengan sepenuh hati, aku percaya Kerajaan kita, terutamanya RTM, boleh melakukan sesuatu bagi mengembalikan aspek-aspek ‘kemelayuan’ Persekutuan Tanah Melayu ke dalam kehidupan warga Malaysia. Sebagai permulaan, nama-nama seperti ‘Semenanjung Tanah Melayu’ perlu digunakan semula untuk menggantikan ‘Malaysia Barat’, dan panggilan ‘Hakim Besar Malaya’ perlu digantikan dengan istilah ‘Hakim Besar Semenanjung Tanah Melayu’, memandangkan ‘Malaya’ adalah istilah Inggeris bagi ‘Semenanjung Tanah Melayu’.

Kita tidak mahu ada pihak yang beranggapan bahawa nama-nama seperti  ‘Persekutuan Tanah Melayu’ dan ‘Semenanjung Tanah Melayu’ sudah  tidak wujud lagi, dan hanya boleh ditatapi ‘hikayat’nya di dalam buku-buku sejarah atau di Muzium Negara. Sedangkan nama Persekutuan Tanah Melayu dan ‘negeri-negeri Tanah Melayu’  tercatat dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini bermakna, ‘negeri-negeri Tanah Melayu’, Persekutuan Tanah Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu adalah sebahagian dari kehidupan kita baik dahulu, kini dan selamanya.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

You can comment below, or link to this permanent URL from your own site.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s