Perjanjian Damai Filipina-Bangsamoro, PERINGATAN Untuk Bangsa Melayu

Sebagai sebahagian dari umat Melayu/Islam di Malaysia, kita tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kita menyaksikan majlis menanda-tangani rangka asas Perjanjian Damai antara Kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front(MILF) di Manila semalam.

Kita juga tidak dapat menyembunyikan kebanggan kita menyaksikan DS Najib, Perdana Menteri Malaysia, merangkap Presiden United Malays National Organisation(UMNO) diberikan penghormatan untuk menjadi ‘Guest of Honour’ di majlis tersebut. Berdirinya DS Najib di antara Presiden Filipina dan Pengerusi MILF membuktikan ketinggian MARUAH dan HARGA DIRI bangsa Melayu di Malaysia  mengikut kacamata antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN hari ini.

Tahniah MILF dan Bangsamoro, yang tidak pernah undur di dalam memperjuangkan HAK di tanah pusaka nenek moyang mereka. Sebelum kedatangan Magellan dan penjajah Sepanyol, gugusan kepulauan yang sekarang di panggil Republik Filipina sebahagian besarnya adalah BUMI ISLAM, di mana kesultanan-kesultanan ‘Rumpun Melayu’ yang berkait rapat dengan Kesultanan Melayu Brunei adalah pentadbir dan pemerintah, antaranya Kesultanan Sulu dan Kesultanan Mindanao.

Malangnya, kesultanan-kesultanan ‘Rumpun Melayu’ yang berselerak di merata gugusan kepulauan yang membentuk Republik Filipina sekarang, termasuk sebahagian dari Pulau Luzon di mana terletaknya ibukota Manila, secara berasingan, telah tidak ada kekuatan untuk menahan gelombang penjajahan bangsa Sepanyol, suatu bangsa yang berpegang kuat dengan ajaran Kristian, dan amat kejam terhadap penganut Islam.

Di bawah pemerintahan Sepanyol, seluruh gugusan kepulauan telah diberi nama baru ‘the Philipines’, sempena nama salah seorang Putra Raja Sepanyol, dan agama Kristian telah disebarkan seluas-luasnya di bumi yang asalnya adalah bumi Islam. Orang Sepanyol yang membahasakan umat Islam di utara Afrika, termasuk Morocco, sebagai ‘the Moors’, lantas umat Islam di Filipina juga di panggil ‘Moors’ yang akhirnya bertukar menjadi ‘Moro’. Walaupun seluruh Filipina jatuh di bawah kuasa Sepanyol, Bangsamoro tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai pemerintah…walaupun selepas Filipina menjadi negara merdeka.

Kejatuhan Kerajaan Melayu dan Kesultanan Melayu silam adalah tragedi-tragedi sejarah yang perlu diambil iktibar dan peringatan oleh umat Melayu/Islam di Malaysia. Kerajaan ‘Rumpun Melayu’ Champa di Republik Khmer pernah menjadi penguasa ulung di rantau Indo-China, demikian juga Patani di selatan Thailand. Malah Kesultanan Melayu Melaka yang begitu gah dan hebat juga tidak dapat menahan gelombang kuasa bangsa Eropah, sehingga negeri-negeri Tanah Melayu menjadi ‘protectorate’ kepada British untuk tempoh beberapa ratus tahun.

Di Malaysia, umat Melayu/Islam amat bertuah, kerana di atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin NGO-NGO Melayu yang telah menubuhkan UMNO pada tahun 1946, umat Melayud di Malaysia telah berjaya MEMERDEKAKAN negara ini dari cengkaman penjajah, dan kemudian berjaya mentransformasikan bangsa Melayu menjadi suatu bangsa yang dihormati di seluruh dunia. Malangnya, nikmat yang dikecapi oleh bangsa Melayu di Malaysia tidak dapat dirasai oleh umat Islam dari ‘Rumpun Melayu’  di selatan Thailand, di selatan Filipina dan di selatan Myanmar sehingga ke hari ini.

Perjanjian damai antara MILF dan Kerajaan Filipina amat dialu-alukan. Di zaman di mana terdapat kebebasan beragama di kebanyakan negara dunia, terutama di negara-negara yang mengamalkan demokrasi, PERDAMAIAN dengan terma-terma yang adil kepada umat Islam, baik di selatan Filipina atau di selatan Thailand adalah pilihan terbaik. Kuasa autonomi jauh lebih baik dari beratus tahun berada di bawah cengkaman penjajahan dan kezaliman. PERDAMAIAN akan mengeluarkan umat Islam dari kemiskinan dan kehinaan. PERDAMAIAN akan memberikan kehidupan baru kepada umat Islam di Filipina, Bangsamoro.

Di dalam kita bergembira dan bersyukur di atas segala nikmat dan kebaikan yang akan dikecapi oleh Bangsamoro hasil dari PERDAMAIAN, umat Melayu/Islam di Malaysia wajar menjadikan sejarah jatuh bangun empayar Melayu/Islam di Kepulauan Melayu sebagai rujukan dan panduan di dalam mengorak langkah ke hadapan, di dalam melayari bahtera zaman. ‘Keris Tamingsari’ di tangan  jangan sewenang-wenangnya dilepaskan….kelak kita terpaksa berjuang  ratusan tahun untuk menggenggamnya kembali.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

You can comment below, or link to this permanent URL from your own site.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s