Krisis Politik Mesir – Apakah Pendirian Wajar Kerajaan Malaysia?

Berbagai pihak, terutama NGO-NGO yang pro-Ikhwanul Muslimin seolah-olah cuba menekan Kerajaan Malaysia supaya mengutuk dengan sekeras-kerasnya Kerajaan Sementara(interim government) Mesir di atas tragedi berdarah di lokasi-lokasi tunjuk perasaan oleh penyokong-penyokong bekas Presiden Morsi dan gerakan Ikhwanul Muslimin. Malah terdapat NGO-NGO yang mendesak Kerajaan menggunakan saluran-saluran seperti OIC untuk mengenakan tekanan ke atas Kerajaan Sementara Mesir.

Bagi aku, Kerajaan Malaysia perlu mengambil pendirian yang adil dan objektif, tanpa didorong oleh pendirian berbentuk emosi yang diambil oleh NGO-NGO tertentu, yang mempunyai kaitan tertentu dengan Ikhwanul muslimin.

Tidak dapat dinafikan bahawa Ikhwanul Muslimin merupakan salah sebuah gerakan Islam paling berpengaruh di dunia pasca-penjajahan kuasa-kuasa barat ke atas negara-negara umat Islam. Diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna di Mesir pada tahun 1928, Ikhwanul Muslimin telah berkembang ke negara-negara Arab yang lain, malah menjadi inspirasi dan ikutan kepada beberapa gerakan Islam di negara kita Malaysia, seperti PAS, ABIM, JIM dan IKRAM.

Namun begitu, sejarah Ikhwanul Muslimin tidak sunyi dari berbagai ‘kekhilafan’ di dalam berhadapan dengan pemerintah di negara-negara Arab. Walaupun Ikhwanul Muslimin dipercayai mempunyai kepimpinan peringkat dunia, atau ‘tanzim dauli’, yang secara tradisinya dipegang oleh Mursyidul Am Ikhwanul Musklimin Mesir, pendekatan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir tidak semestinya sama dengan pendekatan Ikhwanul Muslimin di negara-negara Arab yang lain. Contohnya, gerakan HAMAS di Gaza, Palestin, dipercayai adalah gerakan Ikhwanul Muslimin ala-Gaza. Di Sudan, gerakan Ikhwanul Muslimin pernah membentuk Kerajaan Campuran dengan sebuah parti Sosialis. Di Syria pula, gerakan Ikhwanul Muslimin memilih untuk membangkitkan pemberontakan bersenjata. Malah, gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sendiri telah ‘modify’ atau merubah pendekatan atau ‘manhaj’nya dari semasa ke semasa, bergantung kepada suasana politik semasa di Mesir.

Ikhwanul Muslimin bukanlah pemain baru di dalam sejarah politik Mesir moden, sebelum dan selepas era penjajahan British. Gerakan ini dipercayai telah turut sama terlibat bersama-sama pemimpin-pemimpin tentera seperti Gamal Abdul Nasir dan Anuar Sadat di dalam merobohkan sistem beraja di Mesir untuk digantikan dengan pemerintahan tentera. Namun begitu, tidak banyak kajian dibuat bagi menjelaskan bagaimana selepas penggulingan kerajaan beraja tersebut, pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin telah dipenjarakan beramai-ramai oleh pemerintah tentera pimpinan Gamal Abdul Nasir, dan gerakan Ikhwanul Muslimin itu sendiri diharamkan.

Tekanan demi tekanan ke atas kepimpinan dan gerakan Ikhwanul Muslimin telah memaksa gerakan tersebut ‘modify’ atau mengubah ‘manhaj’ atau pendekatan, dengan mengambil bahagian di dalam proses pilihanraya parlimen Mesir, mulanya dengan berpayung di bawah sayap parti-parti politik pembangkang sediada di Mesir seperti Parti Wafd, sebelum memilih untuk menubuhkan Parti Kebebasan dan Keadilan(Freedon and Justice Party) sebagai sayap politik rasminya, dan mengambil bahagian di dalam pilihanraya Presiden dan Parlimen Mesir, yang dikelolakan oleh KERAJAAN SEMENTARA TENTERA, selepas kejatuhan Kerajaan bekas presiden Husni Mubaarak.

Di dalam pilihanraya tersebut, calun rasmi Ikhwanul Muslimin ialah Mohamed Morsi. Di pusingan pertama pemilihan yang melibatkan 5 calun, Mohamed Morsi telah memenangi 25% dari undi, berbanding dengan 24% yang dimenangi oleh pencabar terdekat, iaitu Ahmad Syafik, bekas perdana menteri era Husni Mubaarak. Memandangkan tidak ada calun yang mendapat undi melebihi 50% di pusingan pertama, pemilihan pusingan kedua telah diadakan yang hanya melibatkan 2 calun, iaitu Mohamed Morsi dan Ahmad Syafik. Di dalam pusingan kedua ini, Muhammad Morsi telah memenangi 52% undi, dan dengan itu diisytihar sebagai pemenang, dan presiden Mesir yang baru.

Apabila Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera berikutan demonstrasi-demonstrasi jalanan berdarah melibatkan lebih 10 juta rakyat Mesir yang mendesak Mohamed Morsi berundur, Ikhwanul Muslimin tidak dapat menerima tindakan tentera pimpinan General Abdul Fattah Al-Sisi, dengan alasan bahawa Muhammad Morsi adalah Presiden Mesir yang LEGITIMATE, dan bahawa Kerajaan Sementara yang dibentuk oleh tentera adalah ILLEGITIMATE atau TIDAK SAH.

Persoalan di sini ialah, dari mana datangnya LEGITIMASI Mohamed Morsi, apabila pilihanraya Presiden yang dimenangi beliau juga adalah tajaan KERAJAAN SEMENTARA TENTERA juga. Apakah bezanya antara KERAJAAN SEMENTARA TENTERA selepas penggulingan Kerajaan Husni Mubaarak, dengan KERAJAAN SEMENTARA TENTERA selepas penggulingan Mohamed Morsi?

Kita wajar mengambil pendekatan OBJEKTIF di dalam menilai keputusan sukar pihak tentera pimpinan Gen Abdul Fattah Al-Sisi di dalam melaksanakan ‘political road-map’ baru bagi Mesir, selepas lebih dari 10 juta rakyat Mesir berdemonstrasi di jalanan menuntut Mohamedd Morsi berundur, yang telah juga mencetuskan pertempuran berdarah antara penentang dan penyokong Mohamed Morsi di jalanraya-jalanraya di pusat bandaraya Kaherah. Dari pengumuman-pengumuman oleh Kerajaan Sementara tajaan tentera, di dalam melaksanakan ‘political road-map’ tersebut, suatu pilihanraya Parlimen dan Presiden akan diadakan sekali lagi, dan semua parti politik termasuk Ikhwanul Muslimin akan bebas mengambil bahagian.

Bagi aku, sekiranya Ikhwanul Muslimin percaya bahawa gerakan itu begitu besar pengaruhnya dalam masyarakat Mesir, kenapa seolah-olah begitu TAKUT dan GENTAR untuk mengambil bahagian sekali lagi di dalam Pilihanraya Parlimen dan Presiden. Kenapa perlu mengerahkan para penyokong, termasuk wanita dan kanak-kanak, untuk berdemonstrasi setiap hari, berminggu-minggu, malah berbulan-bulan, termasuk sepanjang bulan Ramadhan. Apakah tindakan ini satu tindakan yang bijak oleh sebuah gerakan Islam yang telah begitu lama berpengalaman di pentas politik Mesir?

Secara ikhlas, aku percaya, Ikhwanul Muslimin sebenarnya tidak percaya kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak ada keyakinan untuk memenangi pilihanraya Parlimen dan Presiden, jika diadakan sekali lagi di dalam jangka-masa terdekat. Inilah puncanya Ikhwanul Muslimin terus ingin bersandar kepada isu LEGITIMASI pemilihan Mohamad Morsi sebagai Presiden. Sedangkan sekiranya Muhammad Morsi dicalunkan semula oleh Ikhwanul Muslimin sebagai calun Presiden di dalam satu pilihanraya presiden yang baru, dan beliau terpilih sekali lagi sebagai Presiden dengan undi lebih besar, bukankan ini akan menambahkan lagi LEGITIMASI beliau sebagai Presiden Mesir.

Aku boleh memahami tindakan tentera menggunakan KEKERASAN untuk menyuraikan demonstrasi jalani yang telah berjalan setiap hari, melebihi satu bulan. Keadaan ini jika berlarutan akan MERUDUMKAN ekonomi Mesir, yang antara lain banyak bergantung kepada sektor pelancungan. Keadaan ekonomi Mesir begitu tenat, dengan kadar pengangguran yang tinggi dan kadar kenaikan harga barang keperluan yang tinggi. Aku percaya tidak ada anggota tentera atau polis yang sewenang-wenangnya ingin menembak mati rakyat senegaranya sendiri. Aku percaya, pihak tentera hanya ingin mengembalikan keamanan di pusat-pusat bandar dan seluruh negara, supaya kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat boleh berjalan tanpa unsur kekacauan dan pertembungan berdarah di jalanraya-jalanraya.

Berdasarkan senario di atas, aku percaya, Kerajaan Malaysia tidak perlu memihak kepada mana-mana pihak tertentu di dalam kancah politik Mesir. Sebaliknya, Kerajaan Malaysia wajar menjadi PENDAMAI antara dua pihak bertelagah. Bukankah itu juga pendekatan Kerajaan Malaysia di dalam menangani isu pertelaghan antara Hamas dan Fatah di Palestin? Malah Malaysia boleh menggunakan hubungan baiknya dengan Hamas untuk menjadi PENDAMAI antara Kerajaan Sementara Mesir dengan gerakan Ikhwanul Muslimin.

Aku percaya Ikhwanul Muslimin dipimpin oleh mereka-mereka yang begitu memahami selok-belok seerah perjuangan Rasulullah saw. Seerah telah membuktikan bahawa Rasulullah saw sendiri bertindak dengan amat bijaksana di dalam berhadapan dengan pihak-pihak yang memusuhi Islam. Ada masanya Rasulullah saw berlembut dan beralah, sebagaimana di dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Apatah lagi, Ikhwanul Muslimin bukannya berhadapan dengan musuh-musuh Islam atau kaum kuffar. Ikhwanul Muslimin berdepan dengan pemimpin-pemimpin Islam, samada dari kalangan tentera, parti politik atau NGO.

Bukankah Rasulullah saw pernah berpesan bahawa, “Dua orang Muslim menghunus pedang, seorang membunuh dan seorang terbunuh, kedua-duanya akan ke neraka”.

Oleh itu, wahai pemimpin-pemimpin Islam di Mesir, malah di seluruh dunia, janganlah terpedaya dengan PEREBUTAN KUASA, sehingga kita lalai dengan prinsip-prinsip asas Islam. Seruan ini aku tujukan juga kepada pemimpin-pemimpin part-parti politik dan NGO Islam di Malaysia.

Belum terlambat untuk aku ucapkan Selamat Hariraya kepada rakan-rakan bloggers semua.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

You can comment below, or link to this permanent URL from your own site.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s