Kita para penyokong UMNO/BN bersyukur kerana dikurniakan Allah swt seorang Presiden UMNO/Pengerusi BN dan Perdana Menteri yang amat dekat dengan DENYUT NADI rakyat, termasuk ahli-ahli ‘rank-and-file’ UMNO di peringkat CAWANGAN dan BAHAGIAN.
Menjelang Mesyuarat Perwakilan Bahagian-Bahagian pada pertengahan bulan depan, di antara perkara-perkara yang menyentuh DENYUT NADI ahli-ahli UMNO ‘rank-and-file’ ialah sebahagian dari perkara-perkara yang terkandung di dalam TATAETIKA AHLI UMNO yang dilihat terlalu MENGEKANG ahli-ahli yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.
TATAETIKA AHLI UMNO telah di’gubal’ oleh Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2008 berdasarkan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO yang antara lain menyebut: ‘Majlis Tertinggi berkuasa penuh untuk membuat kaedah-kaedah dan peraturan berkaitan dengan Tataetika Ahli UMNO, yang antara lain melarang penyalahgunaan kuasa dan wang dengan tujuan mendapat undi….’
Kita semua wajar ‘angkat topi’, sebagai tanda penghargaan tidak terhingga kepada kepimpinan tertinggi UMNO kerana memeras pemikiran mereka untuk menggubal peraturan-peraturan demi menyelamatkan parti keramat milik umat Melayu ini dari unsur-unsur yang boleh membawanya kepada kehancuran. UMNO adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang telah menggubal ‘Tataetika Ahli’ yang begitu terperinci dan komprehensif.
Namun, menjelang pemilihan UMNO di peringkat Bahagian-bahagian dan MKT tidak lama lagi, aku terbaca banyak keluhan-keluhan dan rintihan dari ahli-ahli yang telah menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti di semua peringkat. Sekiranya ahli-ahli yang ingin berkhidmat dan bertanding mengikuti SEPENUHNYA apa yang terkandung di dalam Tataetika Ahli UMNO tersebut, bagi mengelakkan mereka dari MELANGGAR peraturan-peraturan tersebut, mereka sebaiknya BERKURUNG SAHAJA DI RUMAH, jangan pergi ke mana-mana, jangan berbual dengan sesiapa, jangan hadir majlis kenduri/tahlil dan berbagai-bagai JANGAN JANGAN JANGAN lagi.
Apa yang lebih menghairankan aku ialah apabila di antara mereka yang ‘merintih’ tentang KETATNYA peraturan-peraturan tersebut adalah terdiri dari pemimpin-pemimpin tertinggi parti sendiri. Berita Harian hari ini melapurkan Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin, sendiri meminta parti mempertimbangkan larangan tidak membenarkan calun berkempen secara peribadi, termasuk menggunakan media sosial. Aku angkat topi kepada YB Khairy di atas KEBERANIAN beliau berterus terang tentang perkara ini. Sebelum ini, beberapa orang calun Pemuda UMNO termasuk Lokman Nor Adam juga ada menyuarakan kebimbangan yang sama.
Apa yang menimbulkan PERSOALAN BESAR di fikiran aku ialah, apakah Lembaga Disiplin UMNO mempunyai jentera pemantau secukupnya bagi menentukan bahawa tidak terdapat DOUBLE-STANDARD di dalam menguatkuasakan Tataetika Ahli UMNO ini. Di muka 6 akhbar Berita Harian hari ini terpampang gambar Ketua Wanita Shahrizat Jalil, bersama-sama sekumpulan ahli-ahli Wanita UMNO, dan di dalam gambar itu juga terdapat Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, DS Hishamuddin Tun Hussein. HEADLINE berita tersebut berbunyi : Pilih Naib Presiden martabatkan wanita’. Persoalan aku di sini ialah apakah kaitan majlis anjuran Wanita Johor itu dengan Kementerian Pertahanan. Dari ungkapan-ungkapan dan kenyataan Ketua Wanita di dalam majlis tersebut, termasuk kepada para pemberita, beliau jelas sekali BERKEMPEN untuk DS Hishamuddin.
Aku tidak ada sebarang masalah dengan Shahrizat atau Hishamuddin. Bagi aku, kedua mereka adalah antara pemimpin-pemimpin terhebat di dalam UMNO. Aku kagum dengan kehebatan mereka membuat kenyataan-kenyataan media, baik berhubung hal-ehwal negara atau hal-hal pemilihan UMNO. Aku akan menangis kesedihan jika pemimpin-pemimpin sehebat mereka dikenakan tindakan disiplin, atau di’disqualified’ dalam proses pemilihan parti. Malah, aku MENYOKONG aktiviti-aktiviti KEMPEN tanpa menggunakan wang, yang telah aku ketengahkan di dalam penulisan aku sebelum ini.
Persoalannya, apakah calun-calun lain dibenarkan mengadakan majlis-majlis di mana berlaku aktiviti KEMPEN seperti yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Johor di atas, tanpa dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO, berdasarkan perincian di dalam buku Tataetika Ahli UMNO. Siapakah yang akan memberikan ruang dan peluang kepada tokoh-tokoh baru seperti calun Ketua Pemuda, Akhramsyah Sanusi, untuk berkongsi buah fikirannya tentang masa depan umat Melayu. Bagaimana kita akan dapat menyelami VISI DAN MISSI beliau jika beliau tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar, malah dilarang menggunakan media soaial?
Mungkin sudah agak terlambat untuk meminda Tataetika Ahli UMNO di peringkat akhir sebelum Mesyuarat Perwakilan Bahagian-Bahagian pertengahan bulan depan menentukan kepimpinan Bahagian-Bahagian dan UMNO Malaysia bagi empat peringkat. Tetapi dari rintihan-rintihan calun-calun yang bertanding, aku percaya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, yang telah menang tanpa bertanding, dan ahli-ahli MKT yang bakal terpilih, akan mengkaji semula sebahagian dari peraturan-peraturan yang sedang diguna-pakai sekarang. SASARAN ASAL kita ialah membenteras amalan politik wang, tetapi kenapa aktiviti KEMPEN menjadi mangsa? Kalau kita tidak gemar melihat anak kita menonton beberapa rancangan di kaca TV, apakah wajar kita mencampakkan peti TV kita ke sungai? Kenapa kita perlu amalkan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’?
Aku percaya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO amat rapat dengan DENYUT NADI rakyat, termasuk ahli-ahli ‘rank-and-file’ UMNO. Kita sokong penuh usaha-usaha membenterasan politik wang, tetapi aku percaya kita wajar melonggarkan syarat-syarat BERKEMPEN demi memperkasakan kepimpinan dan parti UMNO.
BERKEMPEN adalah amalan sihat di dalam sebarang proses pemeilihan dan demokrasi. Sama-samalah kita mencari idea dan jalan bagaimana menguruskan pemilihan dalaman parti keramat UMAT MELAYU ini, termasuk MEMBENARKAN KEMPEN TANPA POLITIK WANG.
Recent Comments