Archive for November 2013

Khalid Ibrahim Amat ‘PINTAR’ Merancang Zaman Pencennya Yang Selesa

November 30, 2013

Ini hanya ‘firasat’ aku bila mengikuti perkembangan terbaru KENAIKAN MENDADAK gaji beliau sendiri sebagai Menteri Besar Selangor, Speaker DUN dan Timbalan Speaker DUN Selangor, Ahli-Ahli EXCO Selangor, serta ahli-ahli DUN Selangor.

Berdasarkan kenaikan tersebut, gaji MB Selangor sebanyak RM29,250.00 adalah jauh lebih tinggi dari gaji Perdana Menteri Malaysia, yang menerima hanya RM22,826.65 sebulan. EXCO Selangor pula menerima RM20,250.00 sebulan, juga jauh lebih tinggi dari gaji Menteri Kerajaan Pusat yang menerima hanya RM14,907.20. Anggota ADUN Selangor pula menerima RM11,250.00 sebulan, berbanding dengan ahli-ahli Parlimen yang hanya menerima RM6,508.59 sebulan.

Kita semua faham, bahawa seorang Menteri Besar mempunyai tanggung-jawab yang besar terhadap rakyat, begitu juga ahli-ahli EXCO, dan ADUN, bukan sahaja di Selangor, malah di negeri-negeri lain. Begitu juga pegawai-pegawai tinggi Kerajaan negeri, juga pegawai dan kaki-tangan Kerajaan negeri yang lain. Semua pihak akan mengatakankan bahawa gaji mereka tidak setimpal dengan tanggung-jawab mereka yang begitu besar.

Kalau boleh, kita mahukan semua orang naik gaji lebih dari 100% sebagaimana yang diputuskan oleh DUN Selangor UNTUK DIRI MEREKA. Mereka berkuasa membuat keputusan UNTUK KEPENTINGAN MEREKA, kuasa yang baru sahaja diberikan oleh rakyat jelata, termasuk pegawai-pegawai Kerajaan di Selangor. Hanya DUN ada kuasa untuk menaikkan gaji para ADUN kalangan mereka, tetapi pegawai Kerajaan dan rakyat biasa hanya berkuasa untuk mengundi, dan merayu kenaikan gaji.

Khalid Ibrahim amat faham, bahawa rakyat Selangor hanya boleh ‘menghukum’nya pada PRU14 akan datang. Setelah hampir 6 bulan diberikan semula mandat memerintah Selangor, Khalid amat faham bahawa DUN Selangor berkuasa penuh membuat sebarang keputusan….bagi tempoh lebih 4 tahun akan datang.

Bagi aku, apa yang telah terjadi di DUN Selangor adalah satu bentuk PENYALAHGUNAAN KUASA, walaupun segala proses membuat keputusan adalah sah di segi undang-undang. Khalid dan ADUN Selangor telah MENGKHIANATI amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Selangor di dalam PRU13 yang lalu…..kecuali mereka telah MENDEDAHKAN sebelum PRU13 cadangan mereka untuk menaikkan gaji Menteri Besar, EXCO dan ADUN sedemikian rupa, sebagai sebahagian dari manifesto parti Pakatan Rakyat bagi negeri Selangor.

Aku tak mahu komen lebih dari ini. Cukup jika aku andaikan bahawa Khalid Ibrahim amat ‘pintar’ di dalam merancang satu zaman pencen yang selesa untuk dirinya.

Advertisements

Hj Hadi Mahu Laksana Hudud, Tetapi Apa kata Mat Sabu, Khalid Samad dan Dr Zul?

November 25, 2013

Di dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS semalam, Presiden PAS, Hj Hadi, dilapurkan begitu bersemangat menegaskan akan melaksanakan HUDUD di Kelantan, walaupun tidak dipersetujui DAP. Mengikut Hj Hadi, perlaksanaan HUDUD tidak bertentangan dengan sebarang perjanjian ‘tahalluf siasiyy’ antara PAS dan rakan-rakannya di dalam Pakatan. Malah bagi Hj Hadi, parti-parti di dalam Pakatan pada dasarnya bersetuju untuk bekerjasama di dalam perkara-perkara disepakati bersama, sedangkan di dalam perkara-perkara yang tidak disepakati, setiap komponen Pakatan berhak melakukan apa sahaja yang diputuskan oleh parti masing-masing.

Di dalam usaha IKHLAS kepimpinan PAS dari kalangan ulama untuk melaksanakan Islam di dalam Kerajaan, termasuk perlaksanaan hukum Hudud, Hj Hadi tidak menaruh sebarang harapan untuk mendapat sokongan dari DAP dan PKR. Satu-satunya pihak yang beliau boleh harapkan untuk memberikan sokongan hanyalah ‘musuh ketat PAS’ UMNO. Tidak memeranjatkan apabila semasa penggulungannya, Hj Hadi turut MENYANYIKAN SEMULA lagu ‘muzakarah PAS-UMNO’, yang telah ditolak ketepi oleh PAS sendiri beberapa tahun yang lalu. Aku kurang pasti samada ‘jemputan’ bermuzakarah oleh Hj Hadi tersebut telah mendapat sambutan hangat dengan laungan ‘Allah Akbar’ dari para perwakilan. Aku lebih percaya, kalangan JUAK-JUAK ANWAR termasuk Mat Sabu, Khalid Samad dan Dr Dzul hanya DIAM SERIBU BAHASA….

Aku percaya kenyataan tegas Hj Hadi tersebut akan menerima KECAMAN HEBAT dari pemimpin-pemimpin kanan DAP. Walaupun reaksi DAP tidak begitu sukar untuk diramal, DAP kemungkinan besar mengambil sikap berhati-hati di dalam memberikan respons….besar kemungkinan untuk meredakan sedikit keadaan. Apatah lagi, DAP amat yakin bahawa kenyataan Hj Hadi tersebut hanyalah KENYATAAN PERIBADI Hj Hadi semata-mata…dan tidak akan mendapat sokongan dari dari pemimpin-pemimpin kanan yang lain, seperti Timbalan Presiden Mat Sabu dan beberapa tokoh-tokoh yang banyak bersuara mewakili PAS seperti Khalid Samad, Dr Dzulkifli, Dr Hatta, Dr Mujahid Yusof Rawa dan lain-lain.

Tewasnya tokoh ulama dari Kelantan, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, memberi isyarat yang nyata, bahawa Hj Hadi berada di PENGHUJUNG kepimpinannya di dalam PAS. JUAK-JUAK ANWAR di dalam PAS yang diketuai oleh Mat Sabu hanya tidak berani meletakkan calun bagi menentang Hj Hadi di dalam pemilihan kali ini. Mereka dengan jelas telah ‘melangkah’ nasihat Nik Aziz sendiri yang dengan jelas menyatakan keinginan beliau melihat seorang dari golongan ULAMA dipilih sebagai Timbalan Presiden. Hasrat Nik Aziz ada logiknya….apa akan berlaku jika terjadi sesuatu kepada Hj Hadi…siapakah yang secara otomatik akan MEMANGKU jawatan Presiden? jawapannya sudah tentu Mat Sabu.

Sebahagian besar pemerhati politik yakin dan percaya bahawa Nik Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan, adalah PROXY Nik Aziz, di dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden. Ini besar kemungkinan berikutan Tuan Ibrahim, yang turut dicalunkan bagi jawatan Timbalan Presiden, telah tidak menerima percalunan bagi jawatan Timbalan Presiden, sebaliknya hanya bertanding jawatan Naib Presiden. Ini bermakna, Mat Sabu dan KUAK-JUAK ANWAR di kalangan kepimpinan PAS sudah tidak menghormati pandangan Nik Aziz. Mereka amat sedar bahawa Nik Aziz sudah kepenatan, dan akan berundur dari pentas politik sedikit masa lagi. Oleh itu, di dalam perhitungan mereka, kekalkan sahaja Hj Hadi buat masa ini…untuk dikorbankan di dalam pemilihan akan datang.

Buat masa ini, biarlah Hj Hadi berkata apa saja….ingin melaksanakan Hudud? Sedia bermuzakarah dengan UMNO? Bagi Mat Sabu dan JUAK-JUAK ANWAR di dalam kepimpinan PAS, tanpa sokongan padu dari Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, dan AJK-AJK kanan PAS, apa yang dicanangkan oleh Hj Hadi tidak lebih dari ‘bagai anjing menyalak bukit’.

Mari kita sama-sama tunggu dan lihat, apakah apa yang dicanangkan oleh Hj Hadi semalam, seperti penegasan untuk melaksanakan Hudud, dan kesediaan bermuzakarah dengan UMNO, akan mendapat sokongan dari Mat Sabu, Khalid Samad(lebih dikenali di dunia maya sebagai ‘Khalid Gereja’) dan Dr Dzulkifli. Ketiga-tiga mereka ini, walaupun bukan dari golongan ULAMA, mereka boleh ‘makan’ siapa sahaja di dalam mesyuarat AJK Pusat PAS.

Pemimpin-pemimpin kanan DAP nampaknya begitu TERUJA dengan kemenangan Mat Sabu mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden. Mereka tentu yakin dan percaya, Mat Sabu dan JUAK-JUAK ANWAR di dalam kepimpinan baru PAS, akan berjaya MENDIAMKAN Hj Hadi….sebelum Hj Hadi dipersarakan di dalam pemilihan dua tahun akan datang.

Perbezaan IDEOLOGY Akan Mengakibatkan PAS ‘Terbelah Dua’

November 24, 2013

Muktamar PAS 2013 yang akan berakhir hari ini, dan keputusan Pemilihan AJK Pusat bagi 2013-2015, membayangkan bahawa PAS sekarang berada di satu tahap yang runcing, RETAK MENANTI BELAH.

Walaupun TG Hj Hadi mengekalkan jawatan Presiden dengan menang tanpa bertanding, keputusan pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden memberikan petanda-petanda yang jelas tentang nasib PAS yang sedang menuju ke arah PERPECAHAN BESAR KEDUA, selepas PERPECAHAN BESAR PERTAMA pada tahun 1978.

PERPECAHAN BESAR PERTAMA berlaku pada tahun 1978, kira-kira 4 tahun selepas PAS di bawah pimpinan Almarhum Datuk Hj Mohd Asri, membentuk kerajaan campuran di peringkat Kerajaan Pusat dan beberapa negeri termasuk Kelantan, dengan Parti Perikatan/UMNO di bawah pimpinan almarhum Tun Abdul Razak pada tahun 1974. Kerjasama di antara dua parti politik terbesar Melayu ini adalah ekoran dari peristiwa RUSUHAN KAUM pada 13 Mei 1969, atau Tragedi 13 Mei. Penubuhan kerajaan campuran tersebut telah disusuli dengan kerjasama antara UMNO dan PAS di dalam pembentukan gabungan Barisan Nasional pada tahun 1975.

Namun, sebagaimana pepatah Melayu, ‘Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. Menjelang 1978, berlaku suatu krisis kepimpinan yang besar di dalam PAS, yang telah mencetuskan rusuhan di kalangan penyokong kedua-dua puak yang bertelagah di dalam PAS, sehingga memaksa Kerajaan Pusat mengisytiharkan DARURAT di Kelantan. Salah satu dari dua kumpulan PAS, yang diketuai oleh Menteri Besar Kelantan pada masa itu, iaitu almarhum Datuk Hj Mohamad Nasir telah menubuhkan parti BERJASA.

PERPECAHAN BESAR PERTAMA tersebut hanyalah berpunca dari KRISIS KEPIMPINAN PAS, sedangkan kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang perbezaan dari sudut IDEOLOGY dan HALATUJU perjuangan.

PAS diperhatikan mula berkompromi di dalam aspek IDEOLOGY dan HALATUJU perjuangan apabila menganggotai Barisan Alternative(sekarang dipanggil Pakatan Rakyat), berikutan penubuhan Parti Keadilan Nasional(sekarang Parti Keadilan Rakyat) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, yang turut dianggotai oleh PKR dan DAP, bagi menghadapi PRU 1999.

Menjelang Pemilihan AJK PAS 2013-2015, para bloggers dan pemerhati politik telah mengesan dua ‘trend’ ketara di kalangan yang merebut jawatan di dalam kepimpinan AJK PAS Pusat, satu trend dilabel sebagai LIBERAL/PROFESSIONAL dan satu lagi trend KONSERVATIF/ULAMA. Di antara tokoh-tokoh yang dilabelkan sebagai LIBERAL/PROFESSIONAL ialah Mat Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Khalid Samad, Dr Dzulkifli Ahmad. Sementara yang dilabel KONSERVATIF/ULAMA adalah mereka yang bergelar Ustaz dan mempunyai latar belakang formal pendidikan Islam, kecuali Salahuddin Ayub, yang dilabel sebagai KONSERVATIF, walaupun bukan berlatar belakang pendidikan agama.

Di antara pegangan-pegangan utama golongan LIBERAL/PROFESSIONAL ialah:
1. Mempertahankan kerjasama politik dengan DAP dan PKR.
2. Telah mengenepikan asas-asas perjuangan PAS dahulu, iaitu penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hukum Hudud.
3. Telah mengenepikan peranan PAS sebagai sebuah gerakan dakwah dan gerakan Islam.
4. Merelakan penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian.
5. Tidak memandang berat perjuangan ‘hak istimewa Melayu’.

Sementara golongan KONSERVATIF/ULAMA pula berpendirian seperti berikut:
1. Bersedia untuk menkaji semuala ‘tahalluf siasiyy’ dengan DAP dan PKR jika ianya tidak memberikan kebaikan kepada perjuangan Islam.
2. Sentiasa mempertahankan asas-asas perjuangan PAS terdahulu, iaitu penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hukum Hudud.
3. Tetap menganggap penglibatan PAS di dalam politik sebagai sebahagian dari kegiatan ‘gerakan Islam’, dan ‘dakwah Islam’.
4. Menolak penggunaan kalimah ALLAH oleh Kristian.
5. Tetap menyokong peruntukan Perlembagaan berkaitan hak-hak Melayu/Bumiputra.

Pemilihan AJK PAS 2013-2015 yang berlansung semalam, menyaksikan Mat Sabu berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan undi 588, dari 1,086 perwakilan yang membuang undi. Sebagai calun utama dari kumpulan yang dilabel sebagai LIBERAL/PROFESSIONAL di dalam PAS, Mat Sabu telah mendapat sokongan hanya 54% dari keseluruhan perwakilan. Sekiranya kita ambil kira calun Timbalan Presiden dari kumpulan KONSERVATIF/ULAMA yang agak kurang menonjol di peringkat nasional, kita boleh andaikan bahawa hanya SEPARUH dari perwakilan yang menyokong Mat Sabu.

Di dalam pemilihan Naib-Naib Presiden, seorang penyandang jawatan Naib Presiden, dari kumpulan LIBERAL/KONSERVATIVE, iaitu Mahfuz Omar telah gagal mempertahankan jawatan, sementara seorang lagi pemegang jawatan dari kumpulan LIBERAL/PROFESSIONAL iaitu Husam Musa, berjaya mempertahankan jawatan hanya dengan 520 undi, atau kurang dari SEPARUH dari bilangan perwakilan. Cakun-calun dari kumpulan KONSERVATIF/ULAMA menang agak selesa, iaitu Salahuddin Ayub(917 undi) dan Tuan Ibrahim(849 undi).

PERPECAHAN BESAR PERTAMA PAS pada tahun 1978 hanyalah disebabkan KRISIS KEPIMPINAN, yang tidak ada kaitan dengan IDEOLOGY/HALATUJU perjuangan parti. Tetapi, berdasarkan paparan di atas, perbezaaan di kalangan pemimpin-pemimpin utama PAS adalah atas faktor IDEOLOGY/HALATUJU parti, malah melibatkan aspek AQIDAH ISLAM di dalam isu penggunaan KALIMAH ALLAH.

PERBEZAAN IDEOLOGY bukan sesuatu yang boleh diuruskan dan diselesaikan dengan senang. Lihatlah sahaja bagaimana perbezaan IDEOLOGY antara PAS dan DAP, yang sehingga sekarang gagal diselesaikan. Sebagaimana hubungan PAS dan DAP yang boleh dikatagorikan sebagai RETAK MENANTI BELAH, demikianlah juga hubungan antara dua ‘mazhab politik’ besar di dalam PAS, RETAK MENANTI BELAH.

Timbalan Presiden PAS Hanya Taraf PANGLIMA PERANG POLITIK – Khalid Samad

November 23, 2013

Sambil-sambil memantau perkembangan terkini Pemilihan PAS 2013, aku ada terbaca suatu penulisan di blog Khalid Samad, AJK Pas Pusat, dan Ahli Parlimen Shah Alam. Di dalam penulisan tersebut, beliau berhujjah, bahawa jawatan Timbalan Presiden PAS bukanlah suatu jawatan ‘penghormatan’ yang perlu diberikan kepada seorang bertaraf ulama, sebaliknya terbuka kepada sesiapa yang mempunyai keupayaan-keupayaan tertentu, yang melayakkan pemegang jawatan itu menjadi ‘panglima perang’ di medan ‘perang politik’.

Mengikut Khalid Samad, PAS sudah ada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama, di mana mereka yang berstatus ulama mempunyai kedudukan dan peranan, khususnya mengawal hala-tuju perjuangan PAS. Berdasarkan hujjah tersebut, aku percaya, itulah juga tanggapan Khalid Samad terhadap jawatan Presiden PAS….tidak semestinya seorang bertaraf ulama seperti Hj Hadi….Adanya Hj Hadi di situ, bukanlah kerana beliau seorang ulama….tetapi beliau memenuhi ciri-ciri ‘panglima perang’ bagi suatu ‘perang politik’.

Sebelum aku berceloteh lanjut, tahniah kepada Hj Hadi dan Mat Sabu yang telah berjaya mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Walaupun keputusan rasmi jawatan-jawatan lain belum diumumkan, dari berita-berita mutakhir, jelas sekali TIDAK ADA PERUBAHAN BESAR di dalam PAS. PAS pra-PRU13 SAMA SAHAJA dengan PAS pasca-PRU13…..PAS yang sudah TIDAK AMBIL KISAH pandangan-pandangan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS sendiri.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Khalid Samad, PAS hanyalah ibarat suatu ‘angkatan perang’ yang mana Presiden dan Timbalannya hanyalah ‘panglima-panglima perang’ di dalam suatu medan ‘perang politik’.

Sudah tidak kedengaran lagi dari mulut dan penulisan pemimpin-pemimpin PAS kalimah-kalimah seperti ‘jihad fi sabilillah’, ‘syahid/syuhada’, ‘dakwah Islamiyah’, ‘haraki’, ‘gerakan Islam’, ‘medan jihad’, ‘ kebangkitan Islam’, ‘tajdid Islamiyy’ dan lain-lain istilah Islam. Kalau pun ada istilah ala-Islam yang masih tinggal sebagai LEGACY PAS ialah nama akhbar dua-mingguan PAS, HARAKAH dan akhbar on-linenya HARAKAHDAILY. Selain itu, sudah tidak ada lagi LEGASCY ISLAM PAS.

Malang bagi PAS, walaupun telah menukar strategi ‘perang politik’ sedemikian rupa, sehingga jauh tersasar dari landasan ‘perjuangan Islam’ sebelum ini, PAS telah hilang ‘kiramah’ atau kehebatannya sebelum 10 tahun yang lalu. Sebelum 10 tahun lepas, amat ketara KEKUATAN RUHIYYAH di dalam perjuangan Islam PAS, yang telah berjaya menarik minat kaum muda di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara…tetapi kekuatan itu sudah HILANG LENYAP.

Perjuangan Islam PAS telah di’transformasikan’ oleh muka-muka baru dalam PAS seperti Khalid Samad, menjadi hanya ‘perang politik’.

Lebih 400,000 Mykad HILANG Setiap Tahun?

November 21, 2013

Dari apa yang aku faham dari kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri semalam, sejak 2010, lebih dari 400,000 Mykad dilapurkan hilang setiap tahun. Malah bagi tahun ini, dari Januari-Oktober, lebih dari 500,000 Mykad telah dilapurkan hilang.

WOW!!!! Ini sudah boleh dianggap CRISIS POINT!!!

Sebagai perbandingan, kadar pertumbuhan penduduk negara ini, pada kadar 2.4% setahun, ialah seramai 670,000 orang. Dari jumlah tersebut, pertambahan tahunan penduduk Melayu/Bumiputra, pada kadar 2.8%, ialah hanya seramai 470,000 orang.

Ini bermakna, bagi tahun ini, 2013, jumlah Mykad yang hilang, telah melebihi jumlah pertambahan penduduk Melayu/Bumiputra bagi tempoh 1 tahun. Apa akan jadi jika jumlah Mykad hilang yang begitu besar jatuh ke tangan warga asing?

Pendedahan tentang berleluasanya penggunaan Mykad palsu oleh warga asing hanya TERBONGKAR setelah berlaku kes pembunuhan/rompakan oleh seorang pengawal keselamatan warga Indonesia di Ambank Subang Jaya baru-baru ini. Sejak itu, baru timbul pendedahan demi pendedahan, betapa mudahnya warga asing mendapat Mykad palsu….hanya kena bayar kepada sindiket ‘mengilang’ Mykad palsu RM200-RM300 sahaja.

Apakah tidak mungkin ada sindiket tertentu yang bersedia membeli Mykad yang ‘hilang’ pada kadar RM100-RM200 bagi setiap kad. Sedangkan kos untuk memohon Mykad yang baru hanya di dalam RM10…

Siapakah yang perlu dipersalahkan di dalam masalah yang berpotensi MENGGUGAT KESETABILAN NEGARA in? Menteri KDN? Agensi-agensi di bawah KDN, seperti Jabatan Pendaftaran Negara? Syarikat pembekal Mykad kepada Kerajaan? Rekabentuk Mykad yang begitu mudah diubah-suai dan dipalsukan? Atau, apakah berlaku MEGA RASUAH melibatkan sebahagian, kalau bukan semua, yang tersebut di atas?

Persoalan ‘cepu mas’ yang aku ingin lontarkan ialah, apakah mungkin sebahagian dari lebih dari sejuta Mykad yang hilang sejak tahun 2010, dan mungkin jutaan lagi sebelumnya, yang jatuh ke tangan warga asing, dan dipalsukan, untuk menjadikan mereka warganegara INSTANT, telah melayakkan warga asing mengundi di dalam PRU13 yang lalu?

Di dalam hal ini, jelas sekali, Jabatan Pendaftaran seolah-olah tidak mempunyai mekanisma untuk mengesan aktivit-aktiviti pemalsuan Mykad….walaupun mempunyai data-data kehilangan Mykad melebihi 400,000 setahun, bilangan yang amat TIDAK MASUK AKAL. Sekiranya Jabatan Pendaftaran Negara masih menganggap kehilangan Mykad sehingga lebih 400,000 setahun ini adalah ‘hilang yang tidak disengajakan’, bagi aku pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara sudah HILANG AKAL.

Aku harap DS Zahid Hamidi dapat menangani perkara ini dengan serius dan cepat. Langkah pertama ialah dengan membuat ROMBAKAN BESAR-BESARAN di peringkat pegawai-pegawai tinggi di Jabatan Pendaftaran Negara. Pegawai-pegawai tertinggi di Jabatan Pendaftaran Negara telah TERBUKTI GAGAL menjaga amanah rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu, dan mereka semua wajar dipersarakan, dan digantikan dengan tenaga-tenaga baru yang lebih kreatif dan amanah.

Langkah-Langkah Kerajaan Hanya Akan MELONJAKKAN Lagi Harga Rumah

November 7, 2013

Melaui pembentangan Bajet 2014, Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk mengekang kenaikan harga rumah yang merupakan di antara perkara-perkara paling MENGHANTUI pemikiran pengundi-pengundi muda, khususnya yang baru memulakan kerja, sedang merancang mendirikan rumah-tangga, dan merancang untuk membeli rumah.

Tiga langkah utama Kerajaan adalah seperti berikut:
1. Menaikkan harga minima rumah yang layak dibeli oleh warganegara asing dari RM 500,000 kepada RM 1,000,000.
2. Menaikkan Cukai Nilai-Tambah Hartanah(Capital Realty Gain Tax) dari 15% kepada 30%, bagi penjualan semula di dalam tempoh 3 tahun dari perbelian pertama.
3. Kerajaan melalui GLCs di bawahnya mengambil inisiatif membina 1,000,000 unit rumah mampu milik di dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Bagi aku, langkah menaikkan harga minima yang layak dibeli oleh pembeli warganegara asing, bukan sahaja tidak akan memberi apa-apa kesan, malah akan melonjakkan lagi harga rumah yang pada masa ini ditawarkan di pasaran pada harga RM 500,000 ke atas. Aku beri satu contoh senang. Apa kata, selepas pembentangan bajet, Pemaju Swasta menaikkan harga jualan dari RM 600,000 bagi satu unit rumah teres kepada RM 800,000. Atau menaikkan harga jualan Rumah Semi-D dari RM 700,000 seunit kepada RM 900,000. Sudah tentu pembeli ‘spekulative’ yang mencari untung cepat, dari dalam negara, akan beratur membeli unit-unit tersebut, kerana tidak akan ada masalah untuk menjual unit-unit tersebut kepada warganegara asing dengan harga RM 1,200,000-RM 1,500,000. Apatah lagi, sebagai contoh,di negara jiran kita Singapura, harga rumah teres dua-tingkat dijual dengan harga RM 3,000,000 – RM 5,000,000, manakala harga rumah Semi-D mencecah RM7,000,000-RM10,000,000 dan banglo boleh mencecah RM 20,000,000 atau lebih tinggi dari itu. Bermakna, bagi pembeli-pembeli warga Singapura, harga-harga hartanah di Malaysia seperti RM 1,200,000 bagi rumah teres, RM 2,000,000 bagi Semi-D dan Banglo RM3,000,000-RM5,000,000 adalah masih terlalu rendah dibandingkan dengan harga pasaran di negara mereka.

Apakah mereka akan terhalang untuk melabur, dengan membeli secara jangka pendek, dan menjualnya di dalam tempoh 3 tahun, walaupun dikenakan Capital Realty Gain Tax(CRGT) sebanyak 30%, dari perbezaan harga jualan asal dengan harga jualan kedua. Sebagai contoh, seorang pembeli warga Malaysia membeli sebuah Semi-D dengan harga RM700,000 dan menjualnya di dalam masa 1 tahun kepada seorang pembeli warga asing dengan harga RM 1,200,000. CRGT yang dikenakan Kerajaan ialah 30% dari RM 500,000(RM 1,200,000 – RM 700,000) iaitu sebanyak RM 150,000. Siapa yang akan terhalang untuk beli Semi-D dengan harga RM 700,000 jika ‘market forces’ memungkinkan mereka membuat keuntungan kira-kira RM 350,000(RM 500,000 – RM 150,000) dalam masa tidak sampai 1 tahun?

Aku percaya langkah ke 3 Kerajaan sebagai tersebut di atas boleh sedikit sebanyak membantu Kerajaan menyediakan ‘perumahan alternatif mampu milik’ kepada sebilangan rakyat negara ini. Tetapi….aku kurang pasti, apakah GLC Kerajaan akan mampu membina bilangan rumah sejuta di dalam masa 5 tahun sebagaimana dirancang. Kalau pun pihak GLC Kerajaan berjaya membina 200,000 unit setahun, apakah ianya akan berjaya menyelesaikan masalah perumahan, apabila kadar pertumbuhan penduduk kita melebihi 500,000 orang setahun?

Aku percaya, Kerajaan memerlukan idea-idea yang jauh lebih BERNAS di dalam mengatasi masalah perumahan di negara ini. Aku bersedia untuk memberikan sedikit ‘pencerahan’ sedikit masa lagi. Sila tunggu dan lihat.

MARA Perlu Ditukar Menjadi ‘Majlis Amanah Melayu'(MAM)

November 7, 2013

Aku ada terbaca di Utusan Malaysia hari ini, cadangan YB Irmohizan, Ahli Parlimen Kuala Selangor, agar UiTM diisytiharkan sebagai Universiti Diraja UiTM. Mengikut beliau, jika UiTM diisytiharkan sebagai Universiti Diraja, ianya akan menjamin UiTM terus kekal sebagai IPT untuk bumiputra.

Aku kurang pasti apakah YB Irmohizan telah memikirkan semasak-masaknya cadangan tersebut sebelum beliau melontarkannya ke Parlimen….

Mari kita tinjau perkataan Polis Di Raja Malaysia(PDRM). Apakah semestinya perkataan ‘Di Raja’ boleh memberi jaminan bahawa PDRM menjadi suatu pasukan yang mempunyai identiti Melayu/Bumiputra? Jawapannya adalah TIDAK. Malahan banyak lagi agensi-agensi keselamatan negara yang mempunyai label ‘Di Raja’, tetapi TIDAK exclusive kepada Melayu/Bumiputra.

Sebelum aku berbincang lanjut tentang UiTM, aku ingin menarik perhatian bahawa nama MARA(ringkasan kepada Majlis Amanah Rakyat) itu sendiri TIDAK MENGGAMBARKAN asal-usul dan tujuan MARA ditubuhkan. Nama asal MARA ialah RIDA(ringkasan kepada Rural Industrial Development Authority). RIDA telah ditubuhkan pada tahun 1951, 3 tahun selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, oleh pemerintah British pada masa itu, bagi membantu kaum Melayu/Orang Asli memulakan perniagaan.

Nama RIDA ditukar kepada Majlis Amanah Rakyat(MARA) pada tahun 1966, iaitu 9 tahun selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, atau 3 tahun selepas pembentukan Malaysia.

Penggunaan istilah ‘rakyat’ pada nama MARA adalah tidak selaras dengan tujuan sebenar RIDA/MARA ditubuhkan, iaitu untuk membantu kaum Melayu/Orang Asli/Bumiputra. Perkataan ‘rakyat’ menggambarkan seluruh rakyat Malaysia, termasuk keturunan kaum-kaum pendatang yang telah diberikan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia. Tidak hairan jika ada suara-suara yang mendesak agar UiTM menerima kemasukan pelajar-pelajar bukan Melayu/Bumiputra, kerana perkataan ‘rakyat’ pada ringkas-kata MARA itu menggambarkan semua kaum di Malaysia.

Oleh itu, aku mencadangkan, sebelum YB Irmohizan mencadangkan pertukaran nama UiTM, atau menambah label ‘Diraja’ kepada nama UiTM, beliau perlu terlebih dahulu mencadangkan kepada UMNO atau Parlimen, agar nama Majlis Amanah Rakyat(MARA) ditukar kepada Majlis Amanah Melayu(MAM/MAMA).

Dan secara logiknya, jika nama MARA telah bertukar kepada MAM/MAMA, nama UiTM perlu ditukar kepada nama-nama seperti Universiti Tanah Melayu(UTM), Universitu Teknologi Melayu(UTM), atau ringkasnya UiTM, bagi membezakannya dengan Universiti Teknologi Malaysia(UTM) di Sekudai, Johor.

Sebagai perbandingan, Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan Polis Di Raja Malaysia(PDRM) terbuka kepada semua kaum, sedangkan Regimen Askar Melayu Diraja(RAMD) hanya dianggotai oleh kaum Melayu. Ini bermakna, bagi mengekalkan ‘exclusivity’ Melayu/Bumiputra, label “Melayu/Bumiputra’ lebih sesuai digunakan, berbanding dengan label ‘Di Raja’.

Berdasarkan perbincangan ini, kita perlu juga menggunakan semula secara lebih meluas, malah secara rasmi, nama-nama seperti Semenanjung Tanah Melayu dan negeri-negeri Tanah Melayu….supaya kaum-kaum yang TIDAK MENGENANG BUDI tidak akan terlupa, atau buat-buat lupa, asal usul negara kita Malaysia.


%d bloggers like this: