Archive for February 2014

Kunci MCA Mendapat Kembali Sokongan Kaum Cina

February 26, 2014

Tahniah kepada MCA yang telah berjaya mengadakan EGM Ahad lalu, dengan keputuasan hampir sebulat suara untuk turut serta di dalam barisan Kabinet di peringkat Kerajaan Pusat, di dalam barisan EXCO di peringkat negeri, serta jawatan-jawatan di dalam GLC.

Keputusan ini adalah sesuai dengan pendekatan MCA sejak sebelum dan selepas merdeka, iaitu bekerjasama dengan dengan gabungan parti-parti politik yang diketuai oleh UMNO, iaitu Perikatan sehingga 1975, dan kemudiannya Barisan Nasional.

Sehingga PRU 11 pada tahun 2004, MCA masih berjaya mengekalkan sokongan majoriti kaum Cina di negara ini. Pada PRU tersebut, MCA, UMNO dan parti-parti anggota BN yang lain telah berjaya memberikan LANDSLIDE VICTORY, atau KEMENANGAN BESAR, kepada BN, dengan memenangi lebih dari 90% kerusi parlimen, kejayaan terbesar BN di dalam sejarah politik negara.

Malah, berdasar kepada beberapa PRK pada 2007, BN tetap mendapat sokongan padu semua kaum sehingga penghujung 2007. Ini terbukti apabila calun PKR, Khalid Ibrahim, telah tewas kepada seorang calun bangsa India yang kurang dikenali mewakili MIC/BN di PRK Ijok, Selangor, pada tahun 2007, walaupun pengundi Melayu adalah pengundi majoriti di Ijok.

Apakah yang telah berlaku antara PRK DUN Ijok pada pertengahan 2007, dan PRU12 pada Mac 2008, sehingga berlaku apa yang digambarkan ‘tsunami politik’ oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang, sehingga BN bukan sahaja gagal mempertahankan majoriti 2/3 di parlimen, malah telah tewas di 5 negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, kepada Pakatan Rakyat.

Sedangkan dasar-dasar dan pendekatan UMNO 2008 adalah sama dengan UMNO 1957-2007, MCA 2008 pun sama dengan MCA 1957-2007, dan MIC 2004 juga tidak ada bezanya dengan MIC 1957-2007. Malah di dalam tempoh 1957-2007, BN telah berjaya mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara kerdil yang mundur menjadi sebuah negara kuasa ekonomi dunia, sehingga layak menduduki TOP 20 ekonomi terbesar dunia. Malah di Kuala Lumpur berdirinya MENARA BERKEMBAR tertinggi di dunia, Menara Petronas, sebagai lambang kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara kita.

Dari analisa-analisa keputusan PRU12 dan PRU13, punca utama kemerosotan sokongan kepada BN ialah sikap OVERWHELMING MAJORITY pengundi Cina yang telah MENGKHIANATI MCA sendiri, UMNO dan BN.

Persoalannya ialah KENAPA? Kenapa pengundi Cina yang sepanjang tempoh 50 tahun selepas kemerdekaan negara pada 1957 telah memberikan sokongan padu kepada BN tiba-tiba sahaja MENGKHIANATI BN…..sedangkan UMNO, MCA dan MIC 2008 dan 2013, tidak ada bezanya dengan UMNO, MCA dan MIC 1957-2007.

Dari kajian-kajian dan pemerhatian banyak pihak, punca utama perubahan sikap pengundi Cina ialah akibat munculnya seorang PETUALANG BANGSA MELAYU, iaitu Ketua Umum PKR bernama Anwar Ibrahim, yang telah berjanji dengan pengundi Cina untuk MENGHAPUSKAN Dasar Ekonomi Baru(DEB) sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk kuasa dari BN. Sebelum 2008, hanya pemimpin-pemimpin DAP yang terdiri dari kaum Cina, khususnya penasihatnya Lim Kit Siang, dan setiausaha agungnya Lim Guan Eng, yang lantang memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’, yang pada hakikatnya bermaksud ‘Penghapusan Hak Istimewa Melayu/Bumiputra’. Mulai 2008, DAP telah berjaya MEMPERKUDAKAN seorang PETUALANG BANGSA MELAYU, Anwar Ibrahim, untuk memperlekehkan dasar-dasar yang tercetus dari KONTRAK SOSIAL, termasuk HAK ISTIMEWA MELAYU.

Setelah 50 tahun negara kita merdeka, pengundi Cina telah mula berani menentang dasar-dasar yang telah digubal oleh pengasas-pengasas negara Malaysia, termasuk HAK ISTIMEWA MELAYU/BUMIPUTRA. Malah mereka mula berani MEMPERJUDIKAN hubungan baik mereka dengan kaum Melayu yang telah terjalin sejak zaman sebelum merdeka.

Di dalam berhadapan dengan perubahan sikap pengundi Cina ini, adalah TIDAK BIJAK jika MCA cuba untuk meniru pendekatan DAP di dalam percubaan untuk menarik sokongan mereka. Sekiranya MCA juga ingin bersuara seperti DAP, dan membawa isu-isu yang sama dengan DAP, bukankah lebih bijak jika MCA dibubarkan saja, dan arahkan sahaja semua ahli-ahli MCA untuk menyertai DAP secara beramai-ramai. Atau, adakan penggabungan antara DAP dan MCA.

Aku percaya para pemimpin MCA bukan begitu. Mereka yang menerajui MCA sekarang amat faham bahawa MCA telah ditubuhkan berasaskan falsafah perjuangan yang berbeza dengan DAP. MCA adalah di antara pengasas perjanjian KONTRAK SOSIAL, sedangkan DAP hanya berminat untuk meruntuhkannya. MCA dan UMNO adalah parti-parti utama yang telah mengasaskan Perikatan dan BN. Pemimpin-pemimpin MCA lebih menghormati sejarah negara kita, serta asas-asas kerjasama antara MCA dan UMNO, kaum Cina dan kaum Melayu.

Menjelang PRU14 akan datang, MCA perlu bekerja keras untuk meyakinkan kaum Cina bahawa peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Negara yang tercetus dari KONTRAK SOSIAL tidak sekali-kali menghalang kaum Cina dari mencapai kejayaan besar di dalam segenap bidang di negara kita. Kejayaan kaum Cina di bidang ekonomi ternyata apabila kira-kira 80% dari senarai 100 ORANG TERKAYA di Malaysia adalah terdiri dari kaum Cina.

Di masa yang sama, MCA perlu memperingatkan kaum Cina bahawa KONTRAK SOSIAL adalah satu PERJANJIAN yang wajib dipegang dan dipatuhi oleh anak-cucu kaum bekas pendatang ke negara ini, yang telah diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu pada awal 1950an, berlandaskan terma-terma tertentu KONTRAK SOSIAL, termasuk memperakuai HAK ISTIMEWA MELAYU/BUMIPUTRA.

Sekiranya MCA dapat menghayati pemikiran ini, dan mula mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk ‘mengorientasikan semula’ pemikiran kaum Cina, terutama generasi muda, aku yakin dan percaya, tidak sukar untuk MCA mendapat kembali sokongan dari kaum Cina.

Advertisements

Saranan Buang Identifikasi Bangsa – Apakah TS Joseph Kurup Mewakili Kerajaan?

February 24, 2014

TS Joseph Kurup adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung-jawab terhadap PERPADUAN NASIONAL. Sehari dua lepas beliau dilapurkan ada menyarankan agar IDENTIFIKASI BANGSA dikeluarkan dari borang-borang rasmi Kerajaan. Beliau turut dilapurkan menyatakan rasa sedih kerana selepas 50 tahun merdeka, rakyat Malaysia masih lagi dipisahkan dengan IDENTIFIKASI BANGSA DAN AGAMA.

TS Joseph Kurup adalah Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah(PBRS), sebuah parti serpihan dari Parti Bersatu Sabah(PBS). Walaupun kedua-dua parti PBS dan PBRS adalah parti ‘perbagai kaum’ atau ‘multi-racial’, pada hakikatnya umum mengetahui bahawa majoriti keahlian kedua-dua parti tersebut adalah dari kaum Kadazan, iaitu salah satu kaum BUMIPUTRA SABAH.

Dari saranan yang telah keluar dari mulut TS Joseph Kurup sebagaimana dilapurkan oleh beberapa akhbar, timbul persoalan di kepala aku, apakah TS Joseph Kurup tidak ada sebarang perasaan KEBANGGAAN terhadap bangsanya sendiri, bangsa/suku kaum yang telah melonjakkannya menjadi seorang pemimpin politik peringkat nasional bertaraf MENTERI. Gambarkan jika beliau menjadi ahli parti-parti ‘multi-racial’ yang lain seperti DAP atau PKR, apakah beliau akan mendapat peluang untuk menjadi pengerusi DAP Sabah atau pengerusi PKR Sabah?

TS Joseph Kurup mungkin berniat baik untuk mencari suatu FORMULA PENYATUAN bagi keseluruhan rakyat Malaysia. Tetapi, sebelum beliau mewar-warkan apa-apa saranan atau formula, apakah beliau telah membuat kajian mendalam tentang APAKAH PUNCA SEBENAR masalah perkauman di negara ini…itu pun kalau betul ada masalah perkauman. Kenapa TS Joseph tidak menjenguk ke negara jiran seperti Thailand, yang mana sedang berlaku pergolakan politik yang amat serius….apakah kerana isu perkauman? Kalau beliau ingin lihat jauh sedikit, beliau boleh kaji PERTUMPAHAN DARAH sesama bangsa di Syria, Mesir dan Libya…apakah kerana isu perkauman?

Sejak penubuhan negara Malaysia, negara kita terkenal sebagai sebuah negara yang telah berjaya menguruskan kepelbagaian bangsa/kaum sehingga kekal aman, stabil dan makmur. Oleh itu, apakah bukti yang kukuh bahawa faktor KEPELBAGAIAN KAUM itu boleh membawa kepada huru-hara dan perpecahan. Malah, setelah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, dan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, penduduk berbagai bangsa, kaum dan agama di negara ini telah hidup di dalam keadaan aman dan harmoni, walaupun mereka kekal mengekalkan identiti bangsa, kaum dan agama masing-masing.

Soalan aku kepada TS Joseph Kurup, apakah jaminan beliau bahawa keadaan hubungan kaum di Malaysia akan bertambah baik dengan MENGELUARKAN IDENTIFIKASI KAUM di kalangan rakyatnya. Soalan aku berikutnya kepada beliau ialah, apakah saranan beliau berbentuk SARANAN PERIBADI, atau SARANAN MEWAKILI KERAJAAN?

Apakah Anwar Ibrahim Bercita-cita Menjadi PERDANA MENTERI Selangor?

February 16, 2014

Dari awal aku ingin ‘declare’, bahawa apa yang aku tulis ini hanya andaian dan firasat aku. Apa yang aku tulis ini tidak dapat aku buktikan, tetapi apa yang aku andaikan ini tidak mustahil boleh berlaku. Oleh itu, aku harap Kerajaan BN wajar menilai firasat aku ini dengan serius…sebelum nasi menjadi bubur.

Semua pihak, termasuk pemimpin dan penyokong-penyokong parti pembangkang, telah ‘caught by surprise’ dengan tindakan bekas ADUN Kajang meletakkan jawatan, untuk memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding di kerusi DUN tersebut…apatah lagi ‘timingnya’ tidak lama selepas kenaikan gaji berlipat ganda wakil rakyat DUN di Selangor. Apakah bekas ADUN Kajang begitu setia dengan Anwar Ibrahim, sehingga bersedia mengorbankan gaji bulanan begitu besar, serta pencen SEUMUR HIDUP yang tidak kurang besarnya, apabila sudah tidak lagi menjadi wakil rakyat DUN.

Banyak juga pihak yang memperlekehkan tindakan Anwar, yang dilihat oleh mereka seolah-olah mengambil kesempatan dari KRISIS KEPERCAYAAN terhadap Menteri Besar Khalid Ibrahim di kalangan pemimpin-pemimpin PKR di Selangor, untuk mengambil-alih jawatan sebagai MB Selangor. Bagi mereka, Anwar sepatutnya meneruskan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia….dengan mengejar jawatan Menteri Besar Selangor, walaupun gajinya lebih tinggi dari gaji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim seolah-olah telah merendahkan martabatnya sebagai ‘Shadow Prime Minister’, malah ada yang beranggapan bahawa Anwar seolah-olah telah BERPUTUS ASA di dalam persaingannya dengan Presiden UMNO untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia…..jadi cukuplah sekadar dapat menjadi Menteri Besar Selangor.

Bagi aku, mereka yang berfikiran sebagai tersebut di atas AMATLAH NAIVE di dalam pembacaan politik. Bagi aku, tanggapan bahawa Anwar ingin bertanding di Kajang sekadar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, adalah berasaskan suatu pemikiran politik yang cetek dan ‘below par’. Aku percaya Anwar Ibrahim mempunyai agenda politik yang jauh lebih besar dari sekadar menjadi MB Selangor.

Kita lihat sahaja pendekatan parti pembangkang untuk mendapat sokongan dari rakyat Sabah dan Sarawak sebelum PRU13. Walaupun pendekatan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak dinyatakan secara terang dan jelas, tidak dapat dinafikan, terdapat unsur-unsur untuk menawarkan GREATER AUTONOMY kepada Sabah dan Sarawak, termasuk menjanjikan ROYALTI MINYAK yang lebih kepada kedua-dua negeri tersebut sebagai permulaan. Malah, dari beberapa ucapan Anwar di Sabah sebelum PRU13, beliau seolah-olah MENGACAH-ACAH rakyat Sabah untuk membuat berbagai tuntutan dari Kerajaan Malaysia. Ada yang percaya bahawa ucapan-ucapan beliau telah sedikit sebanyak mempengaruhi berlakunya peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

Kita tidak perlu membuka buku-buku sejarah untuk menjumpai kisah-kisah di mana beberapa buah negara PERSEKUTUAN telah bertukar menjadi negara-negara serpihan kecil. Sebagai contoh, Yugoslavia suatu masa dahulu adalah di antara beberapa negara amat kuat dan berpengaruh di kalangan negara dunia ketiga, tetapi di atas sebab-sebab perpecahan dalaman, telah TERPECAH menjadi negara-negara lebih kecil seperti Bosnia, Kosovo, selain dari Serbia yang merupakan tunggak utama negara Yugoslavia. Malah banyak wilayah Soviet Union telah bertindak keluar dari KESATUAN SOVIET, termasuk Uzbekistan, Kerzykhtan, Lituania, Moldova dan lain-lain. Apa yang tinggal dari bekas Soviet Union hanyalah Russia, wilayah terbesar dan tunggak utama Soviet Union.

Malah, akhir-akhir ini, terdapat gerakan untuk memerdekakan wilayah-wilayah tertentu dari negara yang lebih besar. United Kingdom, atau dahulu lebih dikenali dengan nama GREAT BRITAIN, sekarang mendapat tekanan dari rakyat Scotland yang dilihat telah berjaya dicenderungkan untuk merdeka dari United Kingdom. Di Sepanyol pula, Wilayah Catalonia, yang menjadi ‘home town’ kepada kelab bolasepak Barcelona, telah lama menuntut kemerdekaan dari Negara Sepanyol. Malah, terdapat banyak lagi gerakan untuk memerdekakan wilayah-wilayah tertentu di negara-negara tertentu di Timur Tengah, Benua Afrika dan Asia.

Pada firasat aku, setelah Pakatan Rakyat menang besar di Selangor pada PRU13 yang lalu, tidak mustahil ada sebahagian pemimpin-pemimpin mereka yang berminat untuk MENCUBA NASIB. Sekiranya Singapura, yang suatu masa dahulu merupakan sebahagian dari Malaysia, berjaya MEMAKSA Kerajaan Malaysia mengeluarkan negara tersebut dari Persekutuan Malaysia, apakah mustahil untuk pemimpin-pemimpin politik pembangkang terlintas memikirkan perkara yang sama bagi negeri-negeri di mana parti pembangkang mendapat kemenangan besar seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Terbayang di kepala aku, apa akan jadi kepada penduduk Malaysia di Putrajaya, yang terletak di tengah-tengah negeri Selangor, SEKIRANYA Selangor tidak lagi menjadi sebahagian dari Malaysia…dan apakah kesudahannya perbicaraan KES LIWAT Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang terletak di Putrajaya, Malaysia.

Aku ‘mencampak’ andaian-andaian ini kepada rakyat dan Kerajaan BN Malaysia, supaya Kerajaan BN kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan tidak ‘caught by surprise’….atau ‘caught with pants down’.


%d bloggers like this: