Posted tagged ‘Islam’

Apakah Sebenarnya Yang Memisahkan UMNO dan PAS?

June 12, 2013

Aku percaya majoriti umat Melayu/Islam di Malaysia teramat mengalu-alukan ‘gambaran’ kerjasama antara UMNO-PAS sebagaimana tergambar di dalam Majlis Perasmian Tilawatul-Quran Peringkat Kebangsaan ke 56 di Balai Islam, Kelantan. Kehadiran PM DS Najib dan MB Kelantan di dalam suatu majlis Tilawatul-Quran, amat besar maknanya kepada umat Islam.

Majoriti umat Melayu/Islam tidak dapat memahami apakah sebenarnya perbezaan antara UMNO dan PAS, dan di antara para penyokong UMNO dan penyokong PAS. Penyokong-penyokong UMNO dan PAS sama-sama solat berjamaah di masjid/surau di seluruh negara, sama-sama bersolat tarawih dan berpuasa wajib di bulan Ramadan, sama-sama mengerjakan Haji di Mekah, dan yang paling utama, sama MENGESAKAN Allah swt, dan mengimani kerasulan Muhammad saw sebagai Rasulullah yang terakhir.

Apakah sebenarnya yang memisahkan UMNO dan PAS?

 

 

 

 

Advertisements

FORMULA Kerjasama UMNO-PAS

February 18, 2013

Cadangan ini adalah atas dasar PRASANGKA BAIK terhadap PAS, khususnya golongan ulama yang membarisi Dewan Ulama PAS dan Majlis Syura Ulama PAS. Memang terdapat ramai PARASIT di dalam kepimpinan PAS, khususnya JUAK-JUAK Anwar Ibrahim….kita dah kenal sangat siapa mereka. Namun, kekuatan PAS bukan terletak kepada hubungan antara parasit-parasit pro-Anwar dengan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP. Kekuatan PAS terletak di tangan pemimpin-pemimpin akar umbi yang berjuang kerana Allah swt, dengan dorongan dan bimbingan para ulama mereka, bukan kerana jawatan atau pangkat.

Keterlibatan PAS di dalam politik pilihanraya, mengikut perspektif para pemimpin dan penyokong yang ikhlas berjuang kerana Allah swt adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi di peringkat DUN dan PARLIMEN, supaya suara mereka di DUN negeri-negeri  dan di PARLIMEN dapat menentukan, atau sekurang-kurangnya mempengaruhi, halatuju negeri-negeri dan negara kita, supaya dasar-dasar negeri-negeri dan negara selaras dengan dasar-dasar Islam.

Sekiranya pemimpin-pemimpin tertinggi PAS lebih objektif di dalam menganalisa politik negara, SEBENARNYA jalan pemimpin-pemimpin PAS untuk ke DUN, PARLIMEN, malah ke PUTRAJAYA adalah jauh lebih ringkas dan mudah sekiranya PAS bekerjasama dengan UMNO, kerana PAS dan UMNO memperjuangkan DASAR-DASAR YANG SAMA, walaupun berbeza dari segi pendekatan. Ini terbukti apabila PAS-UMNO berjaya menguasai hampir 100% DUN dan PARLIMEN di kawasan majoriti Melayu semasa PAS berada di dalam Barisan Nasional.

Dengan itu, matlamat-matlamat asal PAS untuk menegakkan SISTEM ISLAM di dalam segenap aspek kehidupan di negara ini, termasuk perundangan jenayah, akan dapat dilaksanakan tanpa LIKU-LIKU BAHAYA sebagaimana dihadapi oleh PAS sekarang bila dia cuba ber’tahalluf siasiyy’ dengan PKR dan DAP. DAP bukan sahaja berjuang untuk MENGHAPUSKAN KEDUDUKAN ISTIMEWA MELAYU, malah DAP adalah BAPA PERJUANGAN SEKULARISMA di negara ini. Dan demi mendapat undi Cina DAP, PKR telah dilenturkan oleh Anwar Ibrahim supaya selaras dengan acuan DAP. Sedangkan, SEKULARISMA dan ISLAM akan terus bertentangan antara satu sama lain sehingga Hari Kiamat.

Di dalam mencari titik kerjasama antara PAS dan UMNO menjelang PRU akan datang, persoalan PEMBAHAGIAN KERUSI sudah tentu akan menjadi isu utama. Penyandang-penyandang jawatan ADUN dan MP PAS di Kelantan sudah tentu keberatan untuk melepaskan kerusi mereka di Kelantan, walaupun sebahagian darinya, kepada calun-calun UMNO. Begitu juga keadaannya di Kedah. Malah, ADUN dan MP UMNO di negeri-negeri di mana BN menang selesa seperti Trengganu, Perlis, Pahang dan Johor, sudah tentu keberatan untuk melepaskan kerusi mereka kepada calun-calun PAS.

Di dalam menangani perkara ini, KEBIJAKSANAAN dan LAPANG DADA kedua-dua pihak amat penting. Kedua-dua pihak perlu mengutamakan AGENDA ISLAM DAN MELAYU, dan meletakkan kepentingan peribadi masing-masing di bawah agenda Agama, Bangsa dan Negara. Di peringkat kepimpinan kedua-dua parti, perlu mencari formula ‘win-win’ sebagaimana digunakan di dalam kerjasama atau joint-venture di bidang perniagaan. Mana-mana ADUN atau MP yang terpaksa ‘give way’ kepada calun dari parti lain perlu ditawarkan jawatan-jawatan lain, seperti jawatan sebagai PENGARAH SYARIKAT-SYARIKAT GLC di peringkat Negeri atau Persekutuan, supaya ‘periuk nasi’ dan ‘taraf hidup’ mereka tidak merudum lantaran berkorban untuk kepentingan parti.

Bagi mereka yang kekal mempertahankan kerusi ADUN dan MP, atau muka-muka baru yang menjadi ADUN dan MP, perlu juga ada formula ‘win-win’ di dalam pembahagian jawatan-jawatan EXCO di peringkat negeri, dan KABINET di peringkat Persekutuan.

Allah swt telah menguji rakan-rakan kongsi PAS di dalam Pakatan Rakyat dengan berbagai-bagai isu, sehingga terkeluar Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari kepimpinan PAS. Paling akhir, PAS telah diuji dengan UJIAN PALING BESAR, apabila PKR dan DAP bersungguh-bersungguh ingin mendorong, malah menekan, PAS supaya MENSYIRIKKAN ALLAH swt, bermula dengan penggunaan kalimah ALLAH di dalam bible versi bahasa Melayu. Walaupun PAS telah hampir terjerumus ke lembah MENSYIRIKKAN ALLAH, golongan ulama di dalam PAS terbukti masih teguh sebagai BENTENG AQIDAH TERAKHIR PAS.

Alhamdulillah, Allah swt telah memberi kekuatan kepada golongan ulama di dalam PAS untuk tidak mengendurkan AQIDAH mereka. Timbalan Mursyidul Am PAS Dr Harun Din telah mengisytiharkan akan mempertahankan kalimah ALLAH sehingga akhir hayatnya…dan kenyataannya ini dikeluarkan selepas Anwar Ibrahim berkunjung ke rumahnya. Presiden PAS Hj Hadi pula pertama kali mengeluarkan kenyataan mengandaikan PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya ‘tahalluf siasiyy’ PAS dengan PKR dan DAP tidak menguntungkan Islam.

Presiden PAS Hj Hadi tidak perlu menunggu lama untuk menentukan samada ‘tahalluf siasiyy’ PAS dengan PKR dan DAP akan menguntungkan Islam atau tidak. Umat Islam di Malaysia telah dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana PAS telah terdorong untuk menggugurkan matlamat penubuhan negara Islam dan perlaksanaan hudud, demi menjaga hati DAP. Malah, PAS hampir-hampir MENGGADAIKAN kalimah ALLAH untuk disyirikkan oleh penganut Kristian di negara ini.

Di dalam membentangkan FORMULA ini kepada kedua-dua pihak, PAS dan UMNO, perlu ada peranan aktif para cendikiawan Islam berwibawa, NGO-NGO Muslim/Melayu berwibawa, malah bloggers Muslim/Melayu berwibawa, untuk  memainkan peranan sebagai ORANG TENGAN dan PENDAMAI. Kedua-dua pihak PAS dan UMNO berhak memegang amanah tampuk kuasa, bagi pihak umat Islam dan bangsa Melayu, demi mempertahankan KEDUDUKAN ISLAM dan KUASA MELAYU di negara ini.

Sebagai sebahagian dari umat islam, marilah kita berdoa dan bersolat hajat, dan berusaha, supaya Allah swt mendorong hati para pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO melupakan sengketa mereka selama ini, dan bersedia untuk memeluk erat antara satu sama lain, dan mempersetujui suatu FORMULA KERJASAMA demi Agama, Bangsa dan Negara….SEBELUM NASI MENJADI BUBUR….Amin…

Aku Tidak Pernah Menjangka Dr. Mohd Asri Begitu BANGANG Dalam Mengupas Isu Kalimah Allah

January 13, 2013

Aku baru terbaca suatu bahan berita dari satu blog yang memaparkan suatu kenyataan Dr Mohd Asri, bekas mufti Perlis, berkenaan isu Kalimah Allah sebagai berikut:

“Terkini Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan lagu kebanyakkan negeri-negeri yang menggunakan kalimah “Allah” termasuk lagu negeri Selangor terpaksa ditukar dengan keputusan mengharamkan penggunaan kalimah Arab tersebut bagi orang-orang bukan Islam sebagai memberi respon kepada perintah Di Raja yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor”.

Dari kenyataan tersebut, amat jelas Dr. Mohd Asri TIDAK MEMAHAMI apakah persoalan sebenarnya yang sedang diperdebatkan oleh umat Islam di Malaysia.

Terlebih dahulu, Dr. Mohd Asri perlu faham bahawa kalimah ALLAH sebagaimana terdapat di dalam lagu negeri Selangor jelas merujuk kepada ALLAH, Tuhan sebagaimana difahami oleh agama Islam, iaitu Allah Yang Maha Esa. Kalimah Allah di dalam senikata lagu negeri Selangor tidak merujuk kepada ‘God the Father’ sebagaimana difahami oleh penganut Kristian.

Masyarakat Islam di Malaysia bukannya menentang  kaum bukan Islam menyebut kalimah ALLAH sekiranya ianya merujuk kepada ALLAH, Tuhan sekalian alam, sebagaimana difahami oleh umat Islam. Tetapi , umat Islam menentang keras jika kaum bukan Islam, termasuk Roman Catholics, mengaitkan kalimah Allah dengan KESYIRIKAN mereka, seperti memasukkan nama ALLAH di dalam Bible versi bahasa Melayu bagi menggantikan kalimah ‘God the Father’.

Aku tidak pernah menjangka seorang yang dianggap sebagai ULAMA, seperti Dr. Mohd. Asri, begitu BANGANG. Beliau gagal sama sekali memahami APAKAH ISU SEBENARNYA, tetapi sentiasa ‘gatal’ untuk membuka mulut dan bertambah MENGELIRUKAN umat Islam dan rakyat Malaysia.

Nasihat aku kepada Dr. Mohd. Asri dan ‘ulama-ulama’ sewaktu dengannya, lain kali, sebelum buka mulut, cuba fahamkan betul-betul apa persoalan sebenarnya yang sedang dibicarakan dan dibimbangi umat Islam. Jangan timbul keadaan, masyarakat berdebat tentang apakah hukum makan daging ANJING, sedangkan Dr. Mohd Asri pula mengeluarkan fatwa tentang makan daging ARNAB.

PAS, Dahulu Al-Quran Perlembagaan Kami, Sekarang Al-Quran Permainan Kami

January 9, 2013

Kebanyakan kita telah tahu bahawa kelahiran PAS adalah dari ‘tulang rusuk’ UMNO. Secara lebih tepat, pengasas-pengasas PAS adalah para ustaz-ustaz dan lulusan agama yang telah digembeling oleh UMNO di zaman Dato’ Onn Jaafar untuk menganggotai Biro Agama UMNO, yang diketuai oleh ‘orang kuat’ Dato’ Onn,  Hj. Mohd Fuad. Apabila Dato’ Onn Jaafar keluar dari UMNO untuk menubuhkan parti ‘multi-racial’ Independence Malaya Party(IMP), Hj. Mohd. Fuad telah mengeluarkan Biro Agama UMNO dari UMNO lalu menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya, atau PAS, untuk memperkuatkan politik Dato’ Onn Jaafar.

PAS bukan ditubuhkan untuk menegakkan negara Islam atau untuk melaksanakan hudud atau seumpamanya. Tidak hairanlah, apabila Hj. Mohd. Fuad sendiri meninggalkan PAS, PAS telah menjemput Dr Burhanuddin Al-Helmy untuk menjadi Yang Dipertua PAS kedua pada tahun 1955. Sedangkan sebelum itu, Dr Burhanuddin Al-Helmy pernah menjadi Timbalan Presiden PKMM, suatu pertubuhan kiri yang telah diasaskan oleh seorang komunis dari Indonesia, Mokhtaruddin Laso. Sementara sebahagian besar AJK PKMM pula adalah anggota Regimen ke 10 Parti Komunis Malaya(PKM) pimpinan seorang warga China, Chin Peng. Malah, Dr Burhanuddin juga pernah dipilih sebagai Presiden pertama Parti Rakyat Malaya pada tahun 1954. Semasa Dr Burhanuddin masih lagi menjadi Yang Dipertua PAS, walaupun dia berada di dalam tahanan ISA, Nik Aziz Nik Mat telah dinobatkan sebagai Ahli Parlimen PAS pada tahun 1966.

Mohon maaf rakan-rakan bloggers jika intro aku agak panjang. Yang berikutnya ringkas sahaja.

Di era 1960-1970, PAS menentang UMNO dengan menyalahkan UMNO menjalin kerjasama dengan bukan Melayu, khususnya MCA dan MIC. Penceramah-penceramah PAS membaca macam-macam ayat Al-Quran bagi menegakkan pendirian bahawa bekerjasama dengan bukan Islam adalah haram. Tetapi apabila PAS sendiri mula bekerjasama dengan DAP, secara tidak lansung mulai PRU 1990, dan secara lansung mulai PRU 2008 melalui Barisan Alternatif bersama-sama PKR dan DAP, Nik Aziz dan Haji Hadi menggunakan istilah ‘tahalluf siasiyy’, bermakna ‘kerjasama politik’, bagi menghalalkan kerjasama tersebut.

Di era 1980-2000, PAS menentang UMNO dengan menyalahkan UMNO kerana mempertahankan ‘perlembagaan penjajah’ dan gagal melaksanakan ‘negara Islam’, dan menentang perlaksanaan hudud. Sekali lagi, penceramah-penceramah PAS dibekalkan dengan berjela-jela ayat Al-Quran untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap UMNO, malah mengkafirkan UMNO, sebagaimana ‘Amanat Haji Hadi’. Sekarang, setelah ‘tahalluf siasiyy’ dengan DAP, Hj Hadi sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa di dalam Al-Quran tidak ada sebut pun ‘Negara Islam’. Lantas PAS mengenepikan matlamat-matlamat ‘negara Islam’ dan perlaksanaan hudud, dan diganti dengan ‘negara kebajikan’.

Dan beberapa hari lepas, Hj Hadi menggunakan lagi ayat-ayat Al-Quran untuk MENYOKONG penggunaan KALIMAH ALLAH di dalan Injil versi Bahasa Melayu, dan untuk penggunaan oleh bukan Islam. Yang anihnya, orang-orang kanan Hj Hadi sendiri seperti Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Ketua Dewan Ulama, semuanya TIDAK MENYOKONG…..sehingga kita tertanya-tanya, naskah Quran mana yang dipakai oleh ulama-ulama PAS….ataupun, apakah mereka ada naskah al-Quran tersembunyi seperti golongan Syiah???

Wahai Hj Hadi…. Tak payahlah nak MEMPERGUNAKAN ayat-ayat Al-Quran untuk mempertahankan tindakan yang bermula dari keputusan  politik……yang timingnya pula dibuat selepas mesyuarat dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Janganlah nak beri gambaran bahawa semua agama lain menggunakan kalimah Allah….Tanya penganut Yahudi, nama Tuhan mereka ialah ‘Elohim’ dan ‘Yehovah’. Tanya orang Buddha, ‘tuhan’ mereka ialah Gautama Buddha. Tanya orang Hindu, tuhan mereka bernama Shiva, Vishnu, Hanuman dan lain-lain. Tanya orang Sikh, tuhan mereka nama  Waheguru. Dan tanya Roman Catholics sendiri di Vatican, Rome dan negara-negara asal penganut Kristian yang lain, tuhan mereka ialah ‘God the father’, ‘Son of God Jesus’ dan ‘Holy Spirit’….mereka tah pernah dengar pun kalimah Allah, kecuali dari mulut orang-orang Islam.

Kalau begitulah realiti di sekeliling kita, kenapa begitu ‘dermawan’ untuk mensedekahkan KALIMAH ALLAH kepada mereka yang siang malam hanya sibuk merancang untuk menjatuhkan kuasa Islam, dan memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Berhujjahlah menggunakan kenyataan dan fakta-fakta  di keliling kita. Janganlah cuba mempermainkan ayat-ayat al-Quran lagi, sebagaimana PAS telah bermain berdekad-dekad lamanya…….

Kebebasan Beragama BUKAN BERMAKNA Kebebasan Melakukan Maksiat.

December 11, 2012

Isu kebebasan beragama hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Nurul Izzah meletakkan PKR dan PAS di dalam keadaan amat tertekan apabila membuat kenyataan mempersoalkan kenapa orang Melayu tidak bebas memilih agama. DAP pula mempersoalkan tindakan Kerajaan Kelantan menyaman pengusaha saloon yang membenarkan pekerja perempuan memotong rambut pelanggan lelaki dan sebaliknya. DAP bertambah bising bila dua pasangan bukan Islam ditangkap di Kelantan atas tuduhan berkhalwat.

Sebelum ini, aku banyak mempersoalkan tindakan-tindakan Kerajaan PAS Kelantan, malah perubahan mendadak matlamat-matlamat perjuangan PAS setelah bersekongkol dengan DAP. Tetapi di dalam kedua-dua kes tersebut di atas, aku lebih cenderung menyokong pendirian Kerajaan PAS Kelantan mengadakan peraturan-peraturan  bagi menyekat BUDAYA KUNING dari menular ke dalam masyarakat kita.

Di dalam mentafsirkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan berhubung kebebasan beragama, kita kena bezakan antara KEBEBASAN BERAGAMA dengan KEBEBASAN SOSIAL. Mari kita tanya orang Cina, apakah agama mereka? Jawapannya ialah orang Cina menganut berbagai agama termasuk Budhha, Taoism, Confucianism, Kristian dan Islam. Persoalannya, apakah ada di antara agama-agama ini menggalakkan amalan-amalan ‘biasa’ di kalangan orang Cina seperti berjudi, melanggani pelacur, menyimpan mistress di luar perkahwinan, hubungan sex di luar nikah dan sebagainya? Dan apakah ada agama yang membenarkan kebebasan tanpa batasan seperti  bertelanjang buat di pantai-pantai tertentu di sesetengan negara barat, kebebasan hubungan sex sejenis atau di luar nikah, kebebasan berkahwin sejenis, kebebasan tinggal sebumbung antara pasangan lelaki dan perempuan tanpa nikah, kebebasan melanggani pelacur, kebebasan ‘bekerja’ sebagai pelacur dan sebagainya?

Jawapannya amat mudah. Tidak ada agama yang mengajar penganutnya melakukkan perkara-perkara maksiat dan merosakkan akal-budi manusia. Walaupun agama-agama selain dari Islam tidak diterima oleh Allah swt, Tuhan Pencipta Alam, agama-agama tersebut pada umumnya mengajarkan amalan-amalan kehidupan yang baik. Kesalahan utama mereka adalah kerana gagal mentauhidkan Allah swt, Tuhan Yang Satu. Sebagai contoh,  Agama Kristian mengajar banyak nilai-nilai yang baik, seperti ‘love your neighbour’ dan sebagainya, tetapi agama ini ditolak kerana mempercayai bahawa Allah swt, Tuhan Yang Maha Esa, mempunyai anak bernama Isa(Jesus) yang merupakan sebahagian dari ‘Trinity’ Ketuhanan. Agama Buddha pula mempercayai Gautama Budhha sebagai Tuhan, walaupun penganutnya tahu bahawa alam maya ini telah wujud sebelum kelahiran Budhha sebagai seorang putra raja di India.

Walaupun orang Cina menganuti berbagai agama, dipercayai lebih dari 50% dari kaum Cina diseluruh dunia tidak mempercayai apa-apa agama. Mereka boleh dianggap sebagai golongan ‘Atheists’ iaitu tidak mempercayai Tuhan, sebagaimana difahami oleh agama-agama ‘ahlul-kitab’ seperti Kristian dan Yahudi. Mereka inilah yang menganuti amalan ‘liberalisma’ sosial, sebagaimana diamalkan oleh orang-orang barat, termasuk budaya-budaya sex bebas.  Persoalannya, apakah budaya ‘liberalisma’ ini terdapat di dalam mana-mana ajaran agama?

Di dalam semua parti politik sedang ‘kemaruk’ mencari undi menjelang PRU 13 akan datang, kita sebagai umat Islam perlu berwaspada terhadap penyebaran BUDAYA KUNING yang cuba disebarkan melalui konsep ‘kebebasan beragama’. Perlembagaan kita menjamin kebebasan beragama,  tetapi BUKAN kebebasan mengamalkan budaya kebebasan tanpa had seperti yang sedang diamalkan di barat dan telah menular ke dalam negara kita.

 

 

Sempena Perhimpunan Agung UMNO – Akta-Akta PREVENTIVE Wajib Dilaksanakan Secara Tegas

November 27, 2012

SUARAM sebuah pertubuhan NGO haram, tetapi dibiarkan bergerak bebas. DAP sebuah pertubuhan politik yang matlamatnya bertentangan dengan semangat Perlembagaan, tetapi dibiarkan bergerak bebas, malah dibenarkan bertanding di dalam Pilihanraya. Kurang pasti apa status sebenar Dong Zong yang semakin banyak membuat onar akhit-akhir ini, tindak-tanduknya jelas tidak selari dengan Perlembagaan, juga dibiarkan bergerak bebas.

Kebebasan berlebihan yang diberikan kepada berbagai pertubuhan, termasuk parti politik, telah menimbulkan perasaan keluh-kesah di kalangan rakyat. Tindak-tanduk mereka MENGGADAI masa depan negara kita. Setelah lebih 50 tahun negara kita menikmati keamanan dan kestabilan, yang telah membawa kepada kemakmuran dan kemajuan, rakyat mula dihidangkan dengan berbagai tindak-tanduk pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab, sehingga terbayang suatu bentuk kekacauan, huruhara dan kehancuran yang bakal melanda negara kita….its just a matter of time.

Setahu kita, negara kita mempunyai mempunyai berbagai undang-undang, yang telah digubal oleh pengasas-pengasas Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia moden, bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. Malah, dari pengalaman-pengalaman kita berhadapan dengan berbagai cabaran sebelum dan selepas negara kita merdeka, termasuk pemberontakan bersenjata oleh  Parti Komunis Malaya di zaman Darurat(1948-1960), kita telah mempunyai cukup pengalaman untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baru di hari ini.

Malangnya, undang-undang yang ada di tangan kita, dan pengalaman-pengalaman kita, seolah-olah sudah tidak berguna lagi. Hari demi hari, negara kita seolah-olah semakin hampir dengan saat-saat kehancuran. Di manakah para pemimpin yang telah diamanahkan oleh jutaan ahli-ahli UMNO dan puluhan juta rakyat Malaysia, untuk menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. Apakah mereka semua sudah menjadi DAYUS di dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka. Sekiranya mereka TIDAK BERANI dan DAYUS untuk melaksanakan tugas dan tanggung-jawab yang telah diberikan oleh UMNO dan rakyat, apa lagi yang mereka tunggu….NYAH sahaja dari jawatan mereka….berilah laluan kepada pemimpin-pemimpin lain yang mampu melaksanakan amanah ahli-ahli UMNO dan rakyat.

SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO tahun ini yang bermula hari ini, aku  ingin menarik perhatian semua kepada hanya satu seksyen sahaja dari Akta Pertubuhan 1966, untuk renungan para pemimpin UMNO yang telah diberikan amanah oleh ahli-ahli UMNO dan rakyat. Seksyen 2A ini bertajuk ‘PERTUBUHAN BERDAFTAR HENDAKLAH MENJALANKAN URUSAN MENGIKUT PERLEMBAGAAN’. Kandungan penuh Seksyen 2A ini adalah sebagai berikut:

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pertubuhan berdaftar di dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya dan dalam menjalankan hal-ehwalnya, memastikan bahawa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal itu adalah mengikut, selaras mengikut dan mematuhi, peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan-Perlembagaan Negeri, dan jika ada daripada aktiviti-aktiviti atau hal-ehwal mana-mana pertubuhan yang adalah dalam apa cara berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambil kira mengenai:

a)   Sistem kerajaan demokratik yang diperintah oleh seorang Raja Berperlembagaan Malaysia, dan, dalam Negeri-Negeri masing-masing oleh Raja-Raja Berperlembagaannya atau Yang Di-Pertuan Negeri, atau

b)   kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia, dengan agama-agama lain diamalkan secara aman dan harmoni, atau

c)   penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi maksud-maksud resmi, atau

d)   kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak, atau

e)   kepentingan sahtaraf kaum-kaum lain,

seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana Perlembagaan Negeri, Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran pertubuhan itu, selepas memberi pertubuhan itu suatu peluang untuk memberi representasi kepadanya.

Ini hanya satu seksyen dari salah satu dari ratusan Akta-Akta yang telah digubal oleh Parlimen kita. Kalaupun banyak dari Akta-Akta seolah-olah tersimpan rapi di Muzium Negara, dan jarang digunakan,  aku yakin dan percaya, sekiranya Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 ini sahaja dikuat-kuasakan, sudah memadai untuk kita menjamin masa depan Agama, Bangsa dan Negara kita. Pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai matlamat-matlamat yang bertentangan dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak sewajarnya dibenarkan bergerak bebas di negara kita, sebagaimana kita telah MENGHARAMKAN Parti Komunis Malaya satu ketika dahulu.

Pesanan aku kepada para pemimpin dan perwakilan UMNO, jangan sekali-kali takut atau gentar di dalam melaksanakan tugas dan tanggung-jawab yang telah diamanahkan, di dalam memartabat dan mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara.

Kepada pemimpin dan perwakilan UMNO, selamat berhimpun, semoga Allah swt memberkati anda semua.

 

 

Apakah Agama Anak-Anak Nurul Izzah?

November 6, 2012

Pentas politik Malaysia tidak sunyi dari ‘letupan-letupan’. Di antara ‘letupan-letupan’ tersebut termasuklah berita Anwar Ibrahim berlindung di Kedutaan Turki setelah Saiful membuat lapuran polis bahawa dia telah diliwat oleh Ketua Pembangkang itu. Kemudiannya, berlaku ‘letupan’ lagi kuat apabila bekas sahabat Anwar Ibrahim sendiri mendedahkan video XXX Anwar Ibrahim-CHINA DOLL yang telah menjadi tuntunan di seluruh dunia.

Dua hari lepas, berlaku lagi satu ‘letupan’ yang tidak kurang kuatnya, apabila ‘putri reformasi’  Nurul Izzah Anwar, membuat suatu kenyataan di suatu forum anjuran sebuah badan Kristian, bahawa orang Melayu juga perlu diberi kebebasan untuk memilih agama, sebagaimana bangsa bukan Melayu, sesuai dengan kefahaman ceteknya tentang ayat Al-Quran yang bermaksud ‘Tiada paksaan dalam agama…’.

Di dalam kenyataannya, Nurul Izzah seolah-olah berbangga bahawa beliau, walaupun bersekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta di Petaling Jaya, masih berjaya mempertahankan pegangannya sebagai seorang beragama Islam. SMK Assunta di asaskan oleh seorang NUN Kristian berasal dari Republik Ireland pada tahun 1957. Walaupun mendapat bantuan Kerajaan, SMK Assunta dianggap bertaraf  sekolah swasta, sebagaimana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil dan Sekolah Agama Rakyat(SAR).

Selain dari aku, ramai tentu tertanya-tanya, apakah keistimewaan SMK Assunta, sehingga Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi Menteri Pelajaran Malaysia, menghantar anaknya ke sekolah ‘Missionary Kristian’ tersebut. Nurul Izzah boleh dikira bertuah kerana dihantar ke SMK Assunta di peringkat sekolah menengah. Apa akan jadi sekiranya Nurul Izzah dihantar belajar ke ‘Assunta Nursery School’, ‘Assunta TADIKA’ dan ‘Assunta Primary School’, sebelum dihantar ke SMK Assunta….apakah dia akan mampu mempertahankan akidahnya?

Dari sedikit ‘risikan’ yang aku buat, hasil dari perkahwinan antara Nurul Izzah dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar, mereka telah dikurniakan 2 orang cahaya-mata setakat ini, Raja Nur Safiyah 4 1/2 tahun dan Raja Harith 2 1/2 tahun. Sekiranya Nurul Izzah benar-benar ingin menguji kepercayaan ‘Tiada paksaan di dalam agama’nya, aku ingin mencabar Nurul Izzah untuk menghantar anak-anaknya belajar di sebuah sekolah Kristian di Washingto dari usia 2 1/2 dan 4 1/2 tahun sehingga ke peringkat sekolah menengah dan sekolah tinggi. Apakah Nurul Izzah boleh mendabik dada 10-20 tahun akan datang bahawa anak-anaknya kekal sebagai seorang Islam?

Aku tidak tahu apa agama anak-anak Nurul Izzah yang berusia 4 1/2 tahun dan 2 1/2 tahun sekarang…Islam? Kristian? Yahudi? Majusi? Aku ingin berbaik sangka bahawa anak-anak Nurul Izzah mula dididik dengan ajaran Islam, bermula dari diazankan semasa kelahiran, dan seterusnya didedahkan dengan amalan-amalan Islam harian seperti berdoa sebelum makan, solat, dan sebagainya.

Sekiranya Nurul Izzah BENAR-BENAR percaya dengan konsep ‘Tiada paksaan di dalam agama’ sebagaimana di’letupkan’ dua hari lepas, sewajarnya Nurul Izzah tidak perlu mendedahkan anak-anaknya dengan sebarang amalan agama Islam….sehingga mereka berumur dewasa 17 atau 18 tahun. Setelah mereka mencapai umur 17 atau 18 tahun, barulah beri peluang kepada mereka untuk didedahkan kepada berbagai agama yang terdapat di Malaysia dan di dunia ini, termasuk Islam, dan berilah peluang kepada mereka untuk membuat pilihan sendiri samada ingin memeluk Islam, Kristian, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha dan sebagainya.

Secara ikhlas, aku percaya Nurul Izzah sendiri tidak berpegang kepada kenyataan yang telah dibuatnya di hadapan khalayak ramai itu. Cara dia mendidik dan membesarkan anak-anaknya sebagai kanak-kanak Muslim, amat bertentangan dengan RETORIK POLITIKnya di hadapan penganut-penganut Kristian dan berbagai agama lain….sebagai seorang politik….sekadar untuk memancing undi.

Namun begitu, sikap dan pendirian Nurul Izzah di khalayak ramai, amat selari dengan sikap TIDAK BERPENDIRIAN pemimpin-pemimpin PKR dan PAS di dalam berpolitik…kerana undi Cina DAP, Anwar Ibrahim sanggup menggadai kepentingan bangsanya….kerana undi Cina DAP, Nik Aziz sanggup membuang perjuangan Islam dan Hududnya.


%d bloggers like this: